Anda di sini

‘Datin’ cederakan pembantu rumah dipenjara lapan tahun

Advertisement
 Rozita (tengah) dijatuhi hukuman penjara lapan tahun oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam, kerana menyebabkan kecederaan parah terhadap Suyanti dua tahun lalu di Shah Alam. — Gambar Bernama
HUKUMAN PENJARA: Rozita (tengah) dijatuhi hukuman penjara lapan tahun oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam, kerana menyebabkan kecederaan parah terhadap Suyanti dua tahun lalu di Shah Alam. — Gambar Bernama

SHAH ALAM: Bon berkelakuan baik, hukuman bagi ‘Datin’ yang mencederakan pembantu rumahnya sebelum ini diketepikan Mahkamah Tinggi di sini semalam dan menggantikannya dengan hukuman penjara lapan tahun.

Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman itu ke atas Datin Rozita Mohamad Ali, 44, selepas mengetepikan bon berkelakuan baik selama lima tahun yang dikenakan ke atasnya oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 15 Mac lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Seri Tun Abd Majid Tun Hamzah berpendapat bon berkelakuan baik yang dikenakan ke atas tertuduh adalah tidak wajar.

Hukuman penjara itu berkuat kuasa hari ini (semalam) selepas mahkamah turut menolak permohonan peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman.

Pada 15 Mac lepas, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya mengenakan bon berkelakuan baik itu dengan jaminan RM20,000 terhadap Rozita selepas wanita itu menukar pengakuan kepada bersalah terhadap pertuduhan pindaan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap warga Indonesia Suyanti Sutrinso, 19, dengan menggunakan sebilah pisau, sebatang mop, sekaki payung, sebatang besi, sebatang alat mainan kucing dan penyangkut baju sebagai senjata untuk menyerang.

Kesalahan yang membolehkan wanita berkenaan dipenjara maksimum 20 tahun dan denda itu, didakwa dilakukan di sebuah rumah, di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, antara 7 pagi dan 12 tengah hari, 21 Jun 2016.

Keputusan Mahkamah Sesyen terhadap kes itu sebelum ini menimbulkan ketidakpuasan hati banyak pihak termasuk dalam kalangan pengamal undang-undang yang menyifatkan hukuman dikenakan terlalu ringan.

Susulan itu, pihak pendakwaan memohon semakan terhadap hukuman bon tersebut.

Rozita sebelum ini dibicarakan atas tuduhan asal iaitu cubaan membunuh Suyanti mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun jika cedera dan seumur hidup jika menyebabkan kematian, jika sabit kesalahan.

Tertuduh kemudian menukar pengakuan kepada bersalah terhadap pertuduhan pindaan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, selepas 10 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula 9 Mei tahun lepas. — Bernama

Advertisement