Anda di sini

Tunjuk ajar ‘orang lama’ penting bagi depani PRU14

Advertisement
 Azizah merakamkan gambar kenangan bersama sebahagian ahli kelab sempena majlis pelancaran itu.
BERSAMA BERJUANG: Azizah merakamkan gambar kenangan bersama sebahagian ahli kelab sempena majlis pelancaran itu.

BEAUFORT: Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat merangkap Naib Ketua Wanita UMNO Datuk Azizah Mohd Dun menggesa ahli parti untuk bergabung dengan veteran UMNO bagi mendepani cabaran politik masa kini sekali gus memastikan Barisan Nasional (BN) terus menerajui kerajaan.

Katanya gabungan antara veteran UMNO (bekas Pemuda UMNO) merupakan satu usaha yang baik kerana ia secara tidak langsung mampu menjamin kemenangan BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang tetapi pada masa sama sebagai pengiktirafan terhadap pengalaman mereka dalam berpolitik.

Azizah berkata, tunjuk ajar daripada ‘orang lama’ amat diperlukan memandangkan mereka sebelum ini pernah berjuang demi memastikan parti keramat ini terus menjadi pilihan rakyat di negara ini.

“Kita amat menghargai perjuangan ahli UMNO sebelum ini (Pemuda UMNO) maka adalah wajar kita bergabung bagi memastikan parti kita bertambah kuat untuk berhadapan pembangkang pada PRU nanti.

“Saya yakin kombinasi kepimpinan lama dan baharu ini mampu memperkasakan parti ini khususnya bagi mengharungi cabaran menghadapi PRU14.

“Perlu diingatkan bahawa tanpa yang lama, tidak ada yang baharu,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kelab Sahabat N87 Zon 3 (Papar, Kimanis, Beaufort dan Sipitang) di sini.

Hadir sama, Pengerusi Kelab Sahabat N87 Negeri Sabah Zahari Zinin serta barisan kepimpinan Kelab Sahabat N87 (Sabah) dan Zon 3.

Beliau bercakap kepada pemberita bagi mengulas rintihan kepimpinan lama Pemuda UMNO Sabah yang berasakan terpinggir hingga jasa dan pengorbanan mereka sebelum ini seperti tidak dihargai dan dipedulikan.

Sementara itu, Zahari berkata perjuangan mereka semasa era Datuk Seri Najib Razak sebagai Ketua Pemuda UMNO begitu mencabar khususnya ketika cuba mengembangkan UMNO di negeri ini.

Menurutnya, situasi pada masa itu penuh liku memandangkan UMNO ketika itu adalah parti pembangkang namun berkat semangat juang yang tinggi, parti itu mampu menang di Sabah pada tahun 1994 lalu.

“Sebagai parti pembangkang, kita (pada masa itu) menghadapi banyak masalah, namun atas semangat juang yang tinggi demi membela rakyat, kita akhirnya menang seterusnya memerintah.

“Hargai pengorbanan rakan-rakan kita terdahulu supaya mereka tidak rasa terpinggir kerana tanpa perjuangan kami, UMNO dan Barisan Nasional tidak akan memerintah Sabah.

“Justeru, kepimpinan muda harus jadikan semangat juang kami yang bukan saja untuk UMNO tetapi juga demi agama, bangsa dan negara ini sebagai azimat penting khususnya dalam menghadapi PRU14,” katanya.

Advertisement