Anda di sini

‘Road To MAHA 2018’ di Lundu mendapat sambutan

Advertisement
 Petugas merakamkan gambar pada majlis raptai untuk Perasmian ‘Road To MAHA 2018’ di Tebingan
RAPTAI: Petugas merakamkan gambar pada majlis raptai untuk Perasmian ‘Road To MAHA 2018’ di Tebingan

CUTI hujung minggu diambil kesempatan sepenuhnya oleh orang ramai yang tidak putus-putus mengunjungi program ‘Road To MAHA 2018’ di Tebingan Lundu, baru-baru ini.

Tinjauan mendapati di kebanyakan lokasi begitu sesak dengan orang ramai yang membawa ahli keluarga masing-masing untuk mengunjungi pelbagai sudut jualan dan pameran yang menarik. 

Dijangka 20,000 pengunjung tempatan dan dari luar termasuk Kuching, Bau, Samarahan serta Limbang membanjiri tapak Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pertanian Malaysia (MAHA) Lundu.

Pelbagai pameran dan jualan produk industri asas tani dengan tema-tema seperti Sukut Kulinari, Sukut Segar, Sukut Kesihatan dan Kraf, Sukut Agro Pelancongan dan Florikultur serta Sukut Perkhidmatan, memeriahkan program. 

Seorang pengunjung, Ahmad Faizal Bakri, 49, berkata penganjuran Road To MAHA 2018 memberi banyak manfaat kepada pengunjung.

Menurutnya, menerusi pameran disediakan agensi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memberi peluang kepada orang ramai mengetahui maklumat semasa berkaitan sektor pertanian.

“Orang ramai terutama usahawan dan petani mengetahui maklumat semasa dari agensi terlibat,” katanya. 

 Hasil laut segar turut dijual pada  ‘Road To MAHA 2018’ di Lundu.
SEMUA ADA: Hasil laut segar turut dijual pada ‘Road To MAHA 2018’ di Lundu.

Jimbai Tegak berkata, karnival MAHA perlu diteruskan dari semasa ke semasa kerana ia memberi banyak manfaat kepada pengunjung.

Katanya, pengunjung dari semua golongan lapisan masyarakat dapat membeli-belah serta mengunjungi pameran.

“Karnival MAHA yang mendekatkan rakyat sebegini banyak memberi manfaat kepada pengunjung,” katanya.

Seorang usahawan, Fatimah Jawahir berkata, penekanan aspek memperkasakan wanita yang ditonjolkan pada Road To MAHA 2018 adalah langkah yang bijak.

“Langkah memberikan keupayaan ekonomi kepada wanita, agar mereka dapat membuat keputusan sendiri dalam menentukan kehidupan.

“Sektor pertanian sememangnya menyediakan pelbagai ruang untuk sesiapa sahaja meningkatkan taraf hidup dan pendapatan,” katanya.

Beliau berkata, ramai usahawan wanita terlibat pada Road To MAHA 2018 terutama dalam bidang makanan serta kulinari.

Program Road To MAHA 2018 bertujuan mempromosikan MAHA yang bakal diadakan pada 22 November hingga 2 Disember di MAEPS, Serdang.

Ia bukan sahaja memberikan pengunjung gambaran MAHA 2018, tetapi juga memberi peluang kepada semua pihak untuk turut serta pada MAHA 2018, sama ada sebagai usahawan atau rakan strategik.

Advertisement