Anda di sini

Pesawah terima insentif pembajakan

Advertisement
Arifin meninjau ke kawasan sawah padi yang dibangunkan di Membakut.
_Arifin meninjau ke kawasan sawah padi yang dibangunkan di Membakut._

MEMBAKUT : Selain bantuan pertanian daripada agensi serta jabatan kerajaan, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Arifin Arif turut mengambil inisiatif sendiri bagi menggalakkan pesawah di Membakut untuk kembali bersemangat menanam padi.

Arifin ketika ditemui pemberita memberitahu, inisiatif yang beliau laksanakan itu bertujuan membangunkan kawasan Membakut yang suatu ketika dahulu pernah menjadi antara penyumbang padi di negeri ini.

Jelasnya, insentif berupa bantuan pembajakan itu akan disampaikan kepada 69 pesawah bagi empat blok tanaman padi seluas 174 ekar yang terletak di Kampung Pimping, Membakut.

"Sebanyak RM50 diperuntukkan bagi satu ekar tanaman padi menerusi dana Dewan Undangan Negeri (DUN) saya untuk pesawah yang terlibat ini.

"Bantuan yang disediakan ini diharap dapat membantu para pesawah untuk lebih aktif mengusahakan tanaman mereka bagi meningkatkan lagi sumber pendapatan masing-masing sekaligus meletakkan Membakut antara penyumbang utama padi di negeri ini," katanya.

Arifin menyampaikan bantuan pembajakan kepada salah seorang pesawah sempena majlis itu.
Arifin menyampaikan bantuan pembajakan kepada salah seorang pesawah sempena majlis itu.

Dalam pada itu, Arifin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menasihati pesawah supaya tidak mensia-sia bantuan yang diberikan kerajaan bagi menghidupkan semula tanaman padi di Membakut.

Sebaliknya kata beliau, mereka harus kembali bersemangat bagi mengusahakan tanaman padi bagi bersama-sama membangunkan Membakut seperti pada tahun 70-an dan 80-an sekali gus meningkatkan pendapatan ekonomi mereka.

Justeru Arifin berharap agar para pesawah dapat menyahut cabaran tersebut sekaligus mendorong diri masing-masing untuk mengembalikan zaman kegemilangan Membakut sebagai antara kawasan tanaman padi.

Terdahulu, beliau dalam ucapan turut menyampaikan penghargaan terima kasih kepada jabatan serta agensi-agensi lain yang terlibat dalam merealisasikan hasrat untuk membangunkan Membakut.
 

  • oleh
  • Advertisement