Anda di sini

MPC dan Tabung Baitulmal Sarawak meterai MoU laksana program kecemerlangan

Advertisement
Shibli (kiri) bertukar dokumen MoU dengan Tengku Azmi sambil disaksikan Wong, Karim dan Azman.
Shibli (kiri) bertukar dokumen MoU dengan Tengku Azmi sambil disaksikan Wong, Karim dan Azman.

KUCHING: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Sarawak malam ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) bagi pelaksanaan program-program kecemerlangan perniagaan kepada semua agensi di bawah Majlis Islam Sarawak (MIS).

Pengerusi MPC Malaysia Tan Sri Azman Hashim dalam ucapannya berkata MoU itu merupakan antara inisiatif perbadanan itu untuk mewujudkan lebih banyak organisasi cemerlang dan berdaya saing di negeri ini. 

"Tahniah sekali lagi untuk usaha ini. Adalah diharap kerjasama ini akan memberi manfaat dalam penyediaan mencapai tahap yang lebih tinggi," katanya. 

MoU itu ditandatangani sempena Malam MPC Bersama Industri Sarawak di sini dan disaksikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Perdagangan merangkap Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh.

MPC Wilayah Sarawak diwakili pengarahnya Tengku Azmi Tengku Majid manakala TBS diwakili Pengurus Besar Datu Abg Mohd Shibli Abg Mohd Nailie.

Azman turut menggesa semua pihak berkepentingan serta organisasi lain yang berminat di Sarawak tampil 
dan menjalinkan kerjasama dengan MPC Wilayah Sarawak dalam usaha mewujudkan lebih banyak organisasi cemerlang juga berdaya saing di negeri ini. 

Tambahnya, tahun lalu MPC Wilayah Sarawak merekodkan 76 program pembangunan kapasiti dengan penglibatan 2,241 peserta. 

Beliau berkata jumlah penyertaan meningkat sebanyak hampir tiga kali berbanding jumlah penyertaan pada 2016 iaitu 778 peserta. 

"Peningkatan jumlah penyertaan peserta menunjukkan komitmen dan kerjasama yang diberikan oleh peserta dan organisasi masing-masing untuk mewujudkan sinergi yang amat dikehendaki ke arah kecemerlangan. 

"Ini tidak akan direalisasikan tanpa sokongan dari kerajaan negeri dan pusat serta industri-industri di Sarawak," katanya. 

Hadir sama Presiden Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF) Datuk Abang Abdul Karim Tun Abang Openg dan Pengerusi TBS Datu Putit Matzen.

  • oleh
  • Advertisement