Anda di sini

Lima warga Brunei diberkas pukul pegawai imigresen dan RELA

Advertisement
Kesemua suspek yang ditahan dibawa masuk menggunakan kenderaan polis.
Kesemua suspek dibawa masuk menggunakan kenderaan polis.

LIMBANG: Seorang pegawai imigresen dan dua anggota RELA lebam di bahagian tangan, kaki dan badan apabila dikasari lima lelaki warga Brunei ketika cuba memasuki Pusat Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Tedungan selepas waktu operasi ditutup di sempadan malam tadi.

Ketika kejadian, lima suspek berusia 20 hingga 30 tahun cuba melalui laluan kegunaan anggota Imigresen setelah tempoh operasi tamat sekitar jam 12.10 malam.

Ketua Polis Daerah Limbang, Superintenden Mohd Bukhori Saffai berkata ketiga-tiga mangsa yang sedang bertugas ketika itu dipukul dan ditendang menyebabkan mereka mengalami kecederaan lebam di bahagian tangan, kaki dan badan.

"Difahamkan ketika kejadian, suspek-suspek terbabit dipercayai di bawah pengaruh alkohol  dan cuba untuk menggunakan laluan tersebut untuk balik ke Brunei selepas operasi sempadan berakhir," katanya hari ini.

Mohd Bukhori berkata lima suspek itu diberkas pada jam 12.20 tengah hari tadi, manakala sebuah kereta yang digunakana turut dirampas.

Mangsa katanya, telah mendapat rawatan kecederaan di Hospital Limbang sebagai pesakit luar.

"Kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Limbang untuk tindakan reman dibawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi siasatan lanjut.

"Kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan / 447 Kanun Keseksaan," ujar beliau lagi.

  • oleh
  • Advertisement