Anda di sini

Kerjaya jurutera di Iraq tidak halang Zain Ruhani jadi penyanyi

Advertisement
 

MEMPUNYAI kerjaya tetap sebagai jurutera minyak dan gas yang bertugas di Iraq tidak menghalang Zainal Mohd Isa untuk menceburkan diri dalam industri muzik.

Menggunakan nama seni Zain Ruhani, 30, anak muda ini berkata minatnya dalam bidang nyanyian bermula ketika berusia 13 tahun serta turut mencipta lagu terutama berentak balada dan sehingga kini telah menghasilkan 40 buah lagu yang kebanyakannya berunsurkan kerohanian.

“Perjalanan karier nyanyian saya yang baru bermula ini berjalan lancar walaupun terpaksa bekerja di lapangan di Iraq selama sebulan dan kembali ke Malaysia selama sebulan. Masa sebulan di Malaysia itu saya manfaatkan untuk fokus dalam bidang nyanyian,” katanya kepada Bernama, di Kuala Lumpur kelmarin.

Beliau berkata demikian selepas menjadi tetamu undangan bagi rancangan Nine11 terbitan Bernama News Channel.

Ditanya mengenai tempoh yang agak lama diambil untuk bergelar penyanyi, anak kelahiran Bentong, Pahang itu mengakui yang beliau mempunyai tahap keyakinan diri yang agak rendah sebelum ini.

Namun semua itu telah berlalu, kini Zain sibuk mempromosikan single pertama yang menampilkan lagu ciptaannya ‘Impian Rahsia’ yang turut menjadi lagu tema drama bersiri ‘Melankolia’ yang disiarkan TV3.

“Lagu ‘Impian Rahsia’ ini diinspirasikan daripada sebuah kisah benar mengenai niat seorang lelaki untuk meluahkan perasaan cintanya terhadap seorang gadis namun tidak kesampaian selepas gadis itu terlibat dalam kemalangan dan meninggal dunia,” katanya yang amat mengagumi penyanyi era 60-an Allahyarham A. Ramlie.

Katanya beliau juga dalam proses mengeluarkan single kedua menampilkan lagu ‘Mimpi Lebaran’ ciptaan Pak Ngah dan liriknya ditulis sendiri yang dijadualkan pada Hari Raya Aidilfitri ini.

Zain yang mengimpikan untuk berduet dengan Dayang Nurfaizah turut berkata beliau merupakan seorang jurulatih bola sepak pasukan belia di Pahang dan pernah melatih sebuah kelab belia di Qatar.

Katanya beliau juga turut berkecimpung dalam bidang penulisan dan menghasilkan sebuah buku motivasi bertajuk ‘Kita Semua Hebat’ yang diagihkan secara percuma dan mereka yang berminat boleh menghubunginyan menerusi Instagram ‘zaingram- dan Facebook Zain Ami. — Bernama

Advertisement