Anda di sini

Penyerang masjid Quebec dibicara

Advertisement

Mengaku tidak bersalah ke atas 12 tuduhan membunuh dan cubaan membunuh

 Bissonnette (kanan) ketika hadir di mahkamah di Bandar Quebec pada 21 Februari lalu. — Gambar Reuters
MULA DIBICARA: Bissonnette (kanan) ketika hadir di mahkamah di Bandar Quebec pada 21 Februari lalu. — Gambar Reuters

BANDAR QUEBEC: Seorang lelaki Kanada dibicarakan kelmarin berhubung serangan ke atas sebuah masjid Bandar Quebec pada tahun lepas, mengaku tidak bersalah ke atas tuduhan menembak mati enam jemaah dan mencederakan ramai lagi.

Ketika setiap daripada 12 pertuduhan membunuh dan cubaan membunuh terhadap dia dibacakan di mahkamah, Alexandre Bissonnette, 28, menjawab: “Tidak bersalah.”

Serangan pada 29 Januari, 2017 merupakan salah satu kejadian paling teruk terhadap penduduk Islam di sebuah negara Barat, mengakibatkan enam terbunuh dan lebih 30 tercedera,” termasuk seorang lelaki yang sekarang lumpuh.

Penyerang melepaskan tembakan pada akhir sembahyang Ahad di Pusat Kebudayaan Islam di Bandar Quebec, sebuah masjid yang terletak di kawasan kejiranan yang biasanya sunyi.

Polis berkata, Bissonnette menghubungi talian kecemasan selepas tembakan dan mengaku. Mereka menemui dia di dalam keretanya, diparkir di tepi jalan di pinggir bandar kira-kira 20 kilometer dari masjid itu, dan menahannya.

Hakim Francois Huot me-ngarahkan larangan penyiaran bukti yang akan dikemukakan di mahkamah.

Tertuduh kelihatan seperti tidak berminat dengan pro-siding mahkamah, hanya beberapa kali memandang ke arah peguamnya.

Sepanjang beberapa hari akan datang, mahkamah akan memilih 12  juri bagi perbi-caraan oleh hakim dan juri, daripada satu senarai seramai 600 orang, yang mana hampir satu perlima telah meminta agar tidak dipilih.

Pendakwa dan pembela dijangka kemudian akan mengemukakan kenyataan bersama bagi fakta, diikuti dengan saksi pertama dijangka memberi keterangan.

Perbicaraan dijadual akan berlangsung sehingga hujung Mei.

Bagi mangsa terselamat dan keluarga mereka, melihat Bissonnette di mahkamah telah mengembalikan semula memori yang menyakitkan. Mereka menghadiri prosi-ding dengan harapan akan mendapat sedikit pemahaman mengenai kenapa keganasan sebegitu dilakukan terhadap mereka.

Digambarkan oleh Perdana Menteri Justin Trudeau sebagai “serangan pengganas”, kejadian tembakan itu adalah pukulan hebat terhadap masyarakat yang terbuka dan bertoleransi, pelbagai kebudayaan di Kanada, serta terhadap sebuah negara yang menerima baik berpuluh ribu pelarian setiap tahun.

Seorang yang introvert, berpendidikan dan tidak memiliki latar belakang yang menarik, Bissonnette didedahkan selepas penahanannya sebagai seorang supremasis kulit putih yang menentang kehadiran pendatang Islam, namun tidak terlibat dengan mana-mana kumpulan.

Enam mangsa terbunuh adalah rakyat Kanada yang mempunyai dwikerakyatan dilahirkan di Algeria (dua), Guinea (dua), Maghribi dan Tunisia, dan sudah lama menetap di Quebec.

Mereka adalah seorang cendekiawan, seorang penjual daging, seorang pemilik rumah asuhan, seorang pekerja industri makanan, seorang kakitangan awam dan seorang juruprogram komputer – semua mereka dikaitkan melalui kepercayaan mereka.

Selepas kejadian, Trudeau dan yang lain berkumpul di bandar bagi menyuarakan perpaduan mereka dengan komuniti Islam.

Namun serangan turut memberanikan pihak nasionalis dan ekstremis sayap kanan yang menjadi semakin lantang menentang imigrasi dan “Islam radikal,” di sebalik menjauhkan diri mereka dari penyerang muda yang kelihatan didorong oleh retorik mereka.

Sejak kejadian tembakan, satu kepala khinzir ditinggalkan di anak tangga masjid dan kereta presiden masjid dibakar dengan sengaja.

Pada Mac lepas, hampir 200 menunjuk perasaan terhadap cadangan di parlimen Kanada mengecam fahaman Islamofobia. Ia melepasi 201 kepada 91. — AFP

Advertisement