Anda di sini

KK1M peringkat negeri Sabah dilancar di Kuala Penyu

Advertisement

KUALA PENYU: Selaras kehendak kerajaan menerusi konsep Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah melancarkan Kembara Kebajikan 1Malaysia (KK1M) Tahun 2018 Peringkat Negeri Sabah di sini pada Sabtu.

Program Intergenerasi, Warga Emas dan Kanak-Kanak serta Remaja serentak dengan ‘Show Your Talent’ itu merupakan pendekatan yang proaktif menggambarkan hubungan akrab antara kerajaan dan rakyat.

Kembara yang bertemakan ‘Komuniti Perkasa Masyarakat Sejahtera’ itu membawa mesej khusus dalam kerja sosial sempena Hari Kerja Sosial Sedunia yang disambut pada 21 Mac 2018 dengan tema ‘Promoting Community and Environmental Sustainability’.

Majlis pelancaran disempurnakan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), di sini.

Hadir sama, Pegawai Daerah Beaufort Shaid Othman dan Pegawai Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kuala Penyu Raymond Jury.

Dalam ucapannya pada majlis itu, Azizah yang juga Ahli Parlimen Beaufort menghargai sokongan semua pihak termasuk syarikat korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang turut sama menjayakan program berkenaan.

Katanya, KK1M merupakan program dwi tahunan peringkat nasional yang bermula pada tahun 2014 dengan konsep program yang bersifat turun padang dan mendekati rakyat di segenap kampung dan bandar.

Beliau percaya program berkenaan menjadi asas kepada semua pemimpin di peringkat akar umbi dan tempatan untuk bersama-sama semua lapisan masyarakat tanpa mengira kedudukan, agama dan bangsa untuk kita memberikan khidmat bakti kepada mereka.

Katanya, ia turut melangkaui segenap ruang lokaliti penduduk terutamanya di bandar dan luar bandar.

Beliau berkata, penglibatan masyarakat bersama kerajaan dalam kerja dan aktiviti kebajikan amat penting dan perlu digalakkan sejajar dengan konsep ‘Kebajikan Tanggungjawab Bersama’.

Dengan mengadakan banyak program dan aktiviti yang berasaskan kebajikan, ia akan berfungsi untuk memupuk semangat saling membantu dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Kerajaan sentiasa dan akan terus membela rakyat yang memerlukan, keutamaan rakyat adalah keutamaan kerajaan,” katanya sambil menegaskan ia selaras slogan ‘Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan’.

Azizah berkata, kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat telah memperuntukkan sebanyak RM1.5 bilion bantuan tunai kepada rakyat yang memerlukan.

Katanya, terdapat 11 skim bantuan yang memberikan manfaat kepada seramai 500,000 orang yang memerlukan, telah diperkenalkan kerajaan seperti Bantuan Kanak-kanak, Bantuan Warga Emas, Bantuan Elaun Pekerja OKU, Bantuan Pesakit Terlantar, Bantuan OKU Tidak Bekerja dan pelbagai lagi.

Kerajaan juga telah menubuhkan sebanyak 58 PAWE, 149 Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK), 544 Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) dan 45 Klinik Nur Sejahtera di bawah LPPKN.

Perkhidmatan ini merupakan perkhidmatan komuniti yang bersifat pendampingan sosial atau program ‘outreach’ yang membolehkan rakyat mendapat perkhidmatan secara terus daripada kerajaan,” katanya.

Advertisement