Anda di sini

Kerajaan negeri catat pencapaian besar dalam pemuliharaan hutan

Advertisement
 Musa bersama para pengarah kerajaan persekutuan dan negeri, pegawai serta kakitangan kerajaan yang hadir pada Majlis Perhimpunan CUEPACS.
PENCAPAIAN BESAR: Musa bersama para pengarah kerajaan persekutuan dan negeri, pegawai serta kakitangan kerajaan yang hadir pada Majlis Perhimpunan CUEPACS.

SANDAKAN: Kerajaan negeri telah mencatatkan pencapaian besar dalam usaha pemuliharaan hutan di Sabah dengan mewujudkan kawasan perlindungan yang menempatkan populasi orang utan terbesar serta kepelbagaian hidupan liar lain di Hutan Rizab Ulu Segama dan Malua.

Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman berkata selepas hampir 60 tahun pembalakan dilakukan secara berterusan, ia telah dihentikan pada akhir tahun 2007.

Walaupun terdapat beberapa pandangan sinikal mengenainya, ia memberikan mesej jelas dan tegas mengenai komitmen dan kesungguhan kita dalam pemuliharaan khazanah alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata pemberhentian pembalakan membawa kepada pengurangan sekurang-kurangnya RM1 bilion dalam royalti balak kepada kerajaan dan pada ketika itu, ramai yang berpandangan sinis mengenai keputusan berkenaan.

Langkah ini membolehkan seluas 240,000 hektar diletakkan di bawah Pengurusan Hutan Lestari untuk pemuliharaan habitat Orang Utan dan koridor hidupan liar yang lain yang merupakan sebahagian daripada kawasan Heart of Borneo, yang kaya dengan khazanah kepelbagaian biodiversitinya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Perhimpunan CUEPACS di Dewan Serbaguna Libaran, pagi Isnin.

Musa berkata kerajaan telah berusaha mewujudkan hutan terpelihara dan produktif di kawasan rizab hutan berkenaan dan di kawasan hutan yang lain dengan rancangan pengurusan tersendiri.

Katanya di kawasan hutan yang tidak dilindungi sepenuhnya, pengambilan kayu dibuat secara mampan dan melindungi kawasan konservasi hutan yang bernilai tinggi, termasuklah kawasan tadahan air.

Beliau menjelaskan melalui Pengurusan Hutan Secara Mampan (SFM), 53 peratus daripada keluasan negeri Sabah atau 3.9 juta hektar tanah negeri telah diletakkan sebagai Rizab Hutan, Kawasan Perlindungan dan Kawasan Pemuliharaan Hidupan Liar.

Kerajaan Negeri juga telah memperuntukkan 30 peratus daripada jumlah tanah atau kawasan seluas 2.2 juta hektar sebagai Kawasan Perlindungan Hutan Sepenuhnya, yang kita harapkan dapat dicapai dalam tempoh lima tahun akan datang atau lebih awal dari itu.

Peratusan ini melebihi sasaran 10 peratus yang ditetapkan oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Konservasi Alam Semulajadi (IUCN),” jelasnya.

Beliau bagaimanapun mengingatkan bahawa Sabah telah berjaya memulihkan dan menanam semula hutan seluas lebih 700,000 hektar, yang mungkin merupakan usaha terbesar seumpamanya yang dilaksanakan di kawasan tropika.

Kerajaan negeri katanya, telah dan akan terus mempromosikan Sabah sebagai pusat penyelidikan hutan hujan tropika yang melibatkan organisasi penyelidikan antarabangsa terkenal seperti The Royal Society of United Kingdom, The Nature Conservancy of the United States, Yayasan Sime Darby, Abraham Foundation, WWF-Malaysia IKEA, Petronas serta institusi pengajian tinggi tempatan.

Kita mesti memperbanyak dan memperkayakan lagi kawasan hutan kita dengan pelbagai spesies kayu yang bernilai tinggi. Ia adalah satu penyesalan jika kita meninggalkan kawasan tanah yang tandus atau ‘padang jarak padang tekukur’ untuk generasi yang akan datang,” katanya.

Musa juga menjelaskan bahawa Tanjung Aru Eco Development (TAED) adalah usaha pembangunan bersepadu pesisir pantai berkonsepkan eko pelancongan seluas 348 hektar yang merangkumi pantai dan taman rekreasi, kediaman, hotel dan pusat komersil.

Katanya ia adalah pembangunan mampan yang mesra alam sekitar serta berupaya merangsang ekonomi yang berdaya maju dan diterima oleh masyarakat.

Suka saya tegaskan bahawa kawasan ini kita bangunkan dan majukan dengan konsep baharu yang lebih indah dan terkini untuk dinikmati dan dikongsi oleh semua rakyat,” katanya.

Di samping itu, beliau berkata TAED yang merupakan konsep pembangunan paling mampan di Malaysia dan rantau ini akan mewujudkan impak positif dengan limpahan ekonomi dan sosial serta kelestarian alam sekitar di negeri ini.

Kerajaan persekutuan khususnya Perdana Menteri telah memperuntukkan sebanyak RM500 juta untuk melaksanakan projek ini,” katanya.

Advertisement