MIAMI: Bapa kepada Omar Mateen, yang membunuh 49 orang dalam serangan pada 2016 ke atas sebuah kelab malam Orlando, menjadi pemberi maklumat rahsia selama ini kepada Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), menurut dokumen mahkamah.
Masa lampau Seddique Mateen sebagai sumber untuk pihak penguatkuasaan undang-undang persekutuan muncul dalam perbi-caraan di Orlando terhadap Noor Salman, 31, balu Omar Mateen, yang menurut pendakwa raya mempunyai pengetahuan awal tentang rancangan suaminya.
Omar Mateen terbunuh dalam kejadian tembakan beramai-ramai pada 12 Jun, 2016 di kelab malam Pulse, yang dia dakwa lakukan bagi pihak kumpulan Negara Islam (IS).
Peguam bela, dalam dokumen yang difailkan dengan mahkamah sepanjang hujung minggu, meminta bagi kesilapan perbicaraan dalam kes Salman selepas pendedahan bahawa bapa mertuanya pernah berkhidmat sebagai pemberi maklumat FBI.
Namun Hakim Daerah Amerika Syarikat (AS) Paul Byron menolak permohonan itu kelmarin, lapor akhbar Orlando Sentinel.
Menurut peguam Salman, pejabat Peguam AS memaklumkan dalam satu e-mel pada hujung minggu bahawa Seddique Mateen adalah “sumber manusia rahsia FBI pada pelbagai peringkat dalam tempoh di antara Januari 2005 dan Jun 2016”.
Sebagai tambahan, kata-nya, Seddique Mateen merupakan subjek bagi siasatan untuk pemindahan wang yang beliau lakukan ke Turki dan Afghanistan.
FBI turut menyatakan ia menerima satu maklumat bahawa Seddique Mateen terlibat dalam pengumpulan dana yang mungkin ber-tujuan untuk menyumbang kepada “serangan terhadap kerajaan Pakistan”.
Peguam bela berkata, kegagalan kerajaan untuk memaklumkan maklumat itu melanggar “hak Salman bagi perbicaraan yang adil” dan meminta agar tuduhan terhadap dia digugurkan.
“Sekiranya kerajaan mendedahkan maklumat ini, pihak pembelaan akan menyiasat sama ada satu hubungan telah wujud antara Seddique Mateen dan anak lelakinya, terutama sama ada bapa Mateen telah terlibat sama atau menge-tahui lebih awal mengenai serangan Pulse,” menurut pihak pembelaan.
Seddique Mateen, yang berasal dari Afghanistan, berada dalam senarai awal saksi bagi kerajaan namun akhirnya tidak dipanggil untuk memberi keterangan.
Hakim Byron menolak permintaan bagi kesilapan perbicaraan.
“Perbicaraan ini bukan mengenai Seddique Mateen,” Orlando Sentinel memetik hakim sebagai berkata. “Ia mengenai Noor Salman.”
Salman berdepan dakwaan memberi bantuan kepada sebuah organisasi pengganas luar negara dan menghalang keadilan dilaksanakan.
Peguam bela memberitahu mahkamah dia dalam hubungan bermasalah de-ngan Omar Mateen dan tidak mengetahui apa-apa tentang rancangannya. — AFP