Anda di sini

PGA Lahad Datu rekod 113 tangkapan

Advertisement

LAHAD DATU: Pasukan Gerakan Am Batalion 17 (PGA) Lahad Datu merekodkan seramai 113 tangkapan membabitkan sebanyak 50 kes atas pelbagai kesalahan bagi tempoh Januari 2017 sehingga Mac 2018.

Pegawai Pemerintah Batalion 17 PGA Lahad Datu Superintendan Lam Chien Fei berkata, tangkapan itu adalah kejayaan pihaknya sepanjang melaksanakan operasi melibatkan kawasan tanggungjawab BN 17 LDU bermula dari Zon FELDA Sahabat sehingga ke Zon Kunak.

Sepanjang tempoh itu, pihaknya telah menahan seramai 16 orang terdiri daripada warganegara Malaysia, 91 Filipina dan enam Indonesia melibatkan seramai 79 lelaki, 22 perempuan dan 12 kanak-kanak.

Katanya tangkapan itu adalah melibatkan pelbagai kesalahan yang dikesan mengikut Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 melibatkan sebanyak 14 kes, Akta Kastam 1967 enam kes, Akta Dadah Berbahaya 1952 lapan kes, Akta Atipsom 2007 enam kes, Akta Kawalan Bekalan 1961 lima kes, Akta Senjatapi empat kes, Akta Bahan Letupan dua kes, Akta Senjata Berjadual satu kes, Jabatan Laut satu kes, Jabatan Perhutanan satu kes, Akta Curi satu kes dan mengkiut Seksyen 224 Kanun Keseksaan satu kes.

“Sementara itu, sejumlah RM760,407.49 rampasan direkodkan oleh pasukan PGA melibatkan barangan kawalan bekalan, rokok pelbagai jenama, bot pam, enjin sangkut dan dadah jenis syabu,” katanya.

Terdahulu, Majlis Perbarisan Sempena Sambutan Hari Polis Ke-211 itu telah dihadiri lebih 250 orang melibatkan pegawai dan anggota PGA BN 17, PERKEP PGA, ketua-ketua jabatan dan masyarakat setempat.

Majlis itu telah dimulakan dengan perbarisan melibatkan seramai 140 anggota bersama lima pegawai kanan diikuti dengan nyanyian lagu NegaraKu dan Sabah Tanah Airku.

Majlis kemudiannya disusuli dengan bacaan perutusan Ketua Polis Negara yang disampaikan oleh Pegawai Pemerintah Batalion 17 PGA Lahad Datu Superintendan Lam Chien Fei dan kemudiannya bacaan ikrar polis diketuai ASP Badrol Hisham Othman.

Advertisement