Anda di sini

Pengawal dan juruteknik didakwa terlibat Daesh

Advertisement

JOHOR BAHRU: Seorang juruteknik dan dua pengawal keselamatan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan terlibat dengan kegiatan militan Daesh antara Disember tahun lepas dan Februari tahun ini.

Tertuduh, Mohd Zaki Ibrahim, 49, yang bertugas sebagai juruteknik, didakwa memiliki video-video yang mempunyai kaitan dengan kumpulan Daesh dalam sebuah telefon bimbit jenis Samsung SM-G900F dan sebuah tablet Samsung SM-T535 miliknya pada 27 Februari 2018.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah bilik pegawai Tenaga Nasional Berhad, Pencawang TNB PPU, Jalan Permas 3/4 Bandar Baru Permas, di sini, kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Bagi pertuduhan itu, Mohd Zaki didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan (KK) (Akta 574) yang boleh dihukum di bawah subseksyen 130JB (1) kanun sama iaitu penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana item tersebut.

Dua pengawal keselamatan iaitu Nik Muhamad Zaini Nik Hassan, 37, dan Ismadi Md Nor @ Ismail, 30, didakwa secara bersama terlibat dalam persediaan untuk menyerang sebuah bangunan beralamat di Nombor 1, Jalan Abu Bakar di sini.

Perbuatan itu dilakukan di Seri Tomyam, Majidee Corner, Jalan Kemboja, Kampung Dato Sulaiman Menteri pada 11 Dis 2017 sehingga 31 Jan lepas.

Berikutan itu,kedua-duanya melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah subseksyen 130JD(1) KK (Akta 574) yang dibacakan bersama Seksyen 34 kanun sama.

Jika sabit kesalahan, kedua-duanya boleh dihukum penjara tidak melebihi tujuh tahun dan juga dikenakan denda.

Kesemua pertuduhan difahami ketiga-tiga tertuduh ketika dibacakan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Ketiga-tiga tertuduh juga tidak dibenarkan jaminan kerana melibatkan kesalahan keselamatan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Putrajaya Muhammad Fadzlan Mohd Noor manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Kamarudin menetapkan 26 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan forensik dan juga laporan pakar keganasan daripada pihak pendakwaan. — Bernama

Advertisement