Anda di sini

‘Ngoncong’, upacara kesyukuran masyarakat Salako

Advertisement
__alt__

SARAWAK merupakan negeri terbesar di Malaysia yang kaya dengan kepelbagaian kaum, agama, budaya dan adat resam.

Setiap suku kaumnya mempunyai adat resam dan pantang larang yang diamalkan mengikut kepercayaan masing-masing.

Akan tetapi, arus pemodenan telah menyebabkan sesetengah adat resam yang diamalkan sejak zaman nenek moyang semakin dilupakan dan lenyap ditelan zaman.

Masyarakat Bidayuh Salako merupakan salah satu suku kaum yang unik terdapat di Sarawak khasnya di Lundu.

Masyarakat tersebut sangat mengagumi budaya dan adat resam mereka.

Salah satu budaya yang masih diamalkan dikenali sebagai ‘Ngoncong’ yang diamalkan sejak tahun 1875 iaitu bermulanya penempatan masyarakat ini di Kampung Pueh.

Kali terakhir Ngoncong diadakan di Lundu ialah pada 2016 pada satu majlis perkahwinan.

Adalah dipercayai upacara Ngoncong tidak boleh dilakukan sembarangan kerana dikhuatiri kesilapan yang berlaku boleh membawa kepada kerasukan roh-roh jahat sehingga menyebabkan kemudaratan.

Oleh yang demikian, hanya orang yang mahir layak melakukan upacara Ngoncong.

Robson Ramil @ Tutuh, 30, terlantar sakit di Hospital Umum Sarawak (HUS) Kuching sejak 16 Mac, 2017.

Pelbagai kaedah perubatan telah diusahakan dari perubatan moden hingga tradisional.

Setelah lebih dua bulan terlantar di HUS, beliau menunjukkan tanda-tanda semakin sembuh.

Robson berhajat untuk mengadakan upacara Ngoncong sebaik sahaja beliau sembuh sebagai tanda kesyukuran.

Bagi ibunya mahupun masyarakat Salako yang masih berpegang teguh kepada adat lama, hajat anaknya haruslah ditunaikan bagi menunjukkan rasa syukur kepada Jubata (Tuhan menurut kepercayaan lama Salako).

Ngoncong juga diadakan bagi mengembalikan dan menguatkan semangat Robson yang kian pudar setelah lama terlantar sakit.

Setelah terlantar selama 98 hari di hospital, akhirnya Robson pun dibenarkan keluar dari hospital.

Sekembalinya Robson ke kampung halamannya di Kampung Pueh, Sematan, beliau bersama keluarga berbincang dengan masyarakat kampung untuk mengadakan upacara Ngoncong dan membuat segala persiapan yang perlu.

Pelbagai persiapan telah dibuat termasuk penyediaan lauk-pauk, lemang, beras pulut, tepung, gula dan sebagainya. Masyarakat kampung menyediakan makanan secara bergotong-royong.

Antara masakan yang disediakan adalah poe’ (lemang), tumpi’ (sejenis kuih) dan ‘bontong’ (beras biasa yang dibungkus dengan daun dan dimasak dalam buluh).

Ketiga-tiganya merupakan makanan wajib pada upacara itu dan semasa sambutan perayaan Gawai bagi masyarakat Salako.

Sebelum upacara Ngoncong diadakan, ‘buis’ (persembahan/pemberian khas kepada Jubata) hendaklah disediakan terlebih dahulu.

Antara bahan-bahan untuk buis ialah seekor ayam, tumpi’, poe’, bontong, beras kunyit dan sebagainya. Bahan-bahan tersebut kemudiannya diletakkan di atas ‘apar’ (talam).

Satu upacara sembahyang (Nyangahant) akan dilakukan terlebih dahulu sebelum ‘tukang koncong’ atau Panadek Koncong mengambil tempat dengan diiringi penggesek biola, pemain alat muzik seperti gong, canang dan rebana serta dua orang penari wanita.

Ketika ini, hanya terdapat dua tukang koncong di Kampung Pueh iaitu Milos Nimbun, 87, (bekas Ketua Kaum Kampung Pueh) dan Jimmy Nawi, 88.

Manakala dua orang penari wanita pula ialah Limai Tengkek dan Niah Demang.

“Pada upacara ini, benang putih akan diikat di pergelangan tangan mereka yang terlibat bertujuan untuk mengukuhkan lagi semangat mereka yang duduk mengelilingi talam khususnya Robson yang diraikan,” kata Ketua Kaum Kampung Pueh, Iran Suut.

Robson berserta kedua-dua ibu bapanya bersama-sama dengan beberapa orang lain akan duduk mengelilingi tiga talam yang diletakkan di tengah-tengah tempat upacara diadakan.

Ketiga-tiga talam tersebut ialah talam untuk buis, talam untuk peralatan sembahyang dan talam bagi meletakkan derma.

Setelah lengkap semua keperluan, para pemain alat muzik tradisional seperti gong, rebana dan canang akan memainkan alat muzik masing-masing dengan diketuai penggesek biola iaitu Ajus Koda, 70.

Si Panadek Koncong seterusnya akan menyanyikan lagu tarian koncong yang membawa maksud ucapan terima kasih kepada Jubata atas limpahan berkat, tuah, kesihatan tubuh badan dan sebagainya mengikut alunan muzik yang dimainkan.

Para penari pula akan menari mengelilingi talam-talam tadi sambil memegang sapu tangan yang terselit di jari.

Sambil upacara dilakukan, para tetamu akan meletakkan sejumlah wang mengikut kemampuan masing-masing di dalam talam yang telah disediakan.

Wang derma tersebut akan dibahagi-bahagikan antara si Panadek Koncong, pemain muzik, penari dan sebagainya.

Selesai sahaja acara, para peserta diketuai oleh Panadek Koncong akan memberkati Robson dengan menaburkan beras kunyit di atas kepalanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar Datuk Ranum Mina yang ditemu ramah pada upacara tersebut, berharap agar upacara-upacara seperti itu akan kekal diamalkan dan dipelihara supaya tidak tenggelam ditelan zaman.

Baginya setiap kaum ataupun masyarakat haruslah memelihara dan menyemai rasa cinta terhadap adat tradisi dan budaya yang diwarisi dari zaman nenek moyang dahulu walaupun sudah mempunyai anutan agama masing-masing.

“Sebagai pemimpin, saya berharap agar tradisi ini dikekalkan kerana bagi Milos dan Jimmy juga, mereka berharap agar ada generasi baharu sekarang yang akan mempelajari dan mewarisi kemahiran mengadakan upacara Ngoncong ini.

“Janganlah malu ataupun segan bertanya jika ada kemusykilan terutama berkaitan dengan adat istiadat mahupun kebudayaan Salako.

“Jangan membiarkan generasi akan datang lupa akan asal-usul dan kebudayaan yang sudah diwarisi sekian lama ini,” kata Milos.

Setelah selesai upacara Ngoncong ini, semua tetamu dijemput untuk menjamu selera.

Satu lagi upacara diadakan iaitu ‘Babagi Ajakng’ di mana makanan seperti daging khinzir, tumpi’, poe’ dan bontong akan diagihkan kepada individu tertentu dan saudara mara.

Tidak dilupakan, sebelum balik ke rumah masing-masing, tetamu turut dibekalkan sedikit tumpi’ yang digelar ‘Epet Pambarek’ sebagai buah tangan daripada tuan rumah.

Turut hadir ialah Penghulu Masyarakat Salako Lundu Ramil Mina.

Advertisement