Anda di sini

KD Sri indera sakti sedia ke kawasan konflik jika diarahkan

Advertisement
 Sham memberikan penerangan kepada Muis mengenai peralatan yang digunakan oleh TLDM di KD Sri Indera Sakti.
BERSEDIA: Sham memberikan penerangan kepada Muis mengenai peralatan yang digunakan oleh TLDM di KD Sri Indera Sakti.

TAWAU: KD Sri Indera Sakti sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan jika diarahkan bertugas ke kawasan konflik seperti rondaan lanun di Teluk Aden pada 2008.

Pegawai Memerintah KD Sri Indera Sakti Komander Mohamad Sham Saimon berkata kejayaan kapal itu menangani aktiviti lanun Somalia di Teluk Aden paling bernilai tinggi.

“Untuk menghadapi sebarang ancaman termasuk rondaan antilanun, kita sentiasa bersedia tetapi sekarang belum ada keperluan kerana keadaan lebih aman,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Hari Terbuka KD Sri Indera Sakti di Pelabuhan Tawau di sini pada Sabtu, yang turut dihadiri ADUN Sebatik Datuk Abd Muis Picho.

Menurutnya, kehadiran kapal itu ke perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) kali ini bertujuan menghantar barang-barang logistik, membuat lawatan operasi dan hari terbuka.

“Bagaimanapun, kami juga akan sentiasa memantau keselamatan perairan dan membuat rondaan persekitaran perairan sepanjang perjalanan dari Lumut ke Tawau dan sebaliknya.

“Kami akan melaporkan aktiviti mencurigakan dan merekodkan hal-hal yang perlu untuk membantu pasukan lain atau kami sendiri demi keselamatan perairan tanah air,” katanya.

Sham berkata kehadiran kapal besar seperti Kapal Pemerintah Pelbagai Fungsi dan Sokongan itu di ESSZone juga penting dalam aspek keselamatan perairan negara.

Pada masa sama, kehadiran kapal itu memberikan isyarat amaran kepada pihak tertentu supaya tidak cuba untuk membuat kekacauan di sekitar perairan ESSZone.

“Kita sudah menunjukkan konsep kehadiran di sini, dan jika ada orang hendak buat sesuatu yang tidak elok, mereka akan berfikir dua tiga kali,” katanya.

Advertisement