Anda di sini

IPD KK dan DBKK tubuh unit khas Skuad NBOS

Advertisement
 Warga IPD Kota Kinabalu bersama para tetamu bergambar beramai-ramai sempena Majlis Perbarisan Sambutan Hari Polis Ke-211 di Kota Kinabalu, kelmarin.
TINGKATKAN KESELAMATAN: Warga IPD Kota Kinabalu bersama para tetamu bergambar beramai-ramai sempena Majlis Perbarisan Sambutan Hari Polis Ke-211 di Kota Kinabalu, kelmarin.

KOTA KINABALU: Penubuhan unit khas rondaan berbasikal antara Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dijangka mampu meningkatkan jaminan tahap keselamatan warga bandar raya ini.

Mayor DBKK Datuk Yeo Boon Hai berkata, pasukan khas itu dikenali sebagai Skuad Strategi Lautan Biru (NBOS) akan dilancarkan di sini dalam masa terdekat.

“Setakat ini, DBKK telah menyediakan 10 unit basikal untuk tujuan ini dan terdapat beberapa agensi keselamatan lain di sini yang turut berminat menyertai skuad ini.

“Tujuan Skuad NBOS diwujudkan adalah bagi melaksanakan rondaan harian di lokasi-lokasi strategik serta kawasan tumpuan pelancong sekitar bandar raya ini bagi mengurangkan kadar jenayah seperti ragut, curi dan sebagainya,” katanya pada sidang media sempena Majlis Perbarisan Sambutan Hari Polis Ke-211 peringkat IPD Kota Kinabalu, di sini pada Ahad.

Beliau berkata, selepas pelancaran unit khas itu nanti, pasukan polis dan DBKK dengan logo serta pakaian seragam masing-masing mempunyai basikal untuk membuat rondaan bersama.

Sementara itu, pada sidang media yang sama, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, pihaknya kini dalam persediaan tahap maksimum bagi menghadapi kesibukan tempoh kempen dan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Katanya, memandangkan Kota Kinabalu sebagai lokasi utama ‘persinggahan’ ramai tokoh politik sama ada kerajaan atau pihak pembangkang, pasukan polis akan memastikan tahap kawalan akan dipertingkatkan bagi menangani sebarang kemungkinan.

“Kita memang telah bersedia secukupnya cuma kita tunggu tarikh dan masa bagi melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin.

“Anggota dan pengawai yang terlibat secara langsung telah diberi ilmu, dilatih serta diberikan tugas untuk menjalankan peranan semasa PRU14,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan George Abdul Rakman.

Advertisement