Anda di sini

Fattah diserbu peminat di MBO The Spring

Advertisement
 Fattah bergambar bersama para peminatnya
PELAKON PUJAAN: Fattah bergambar bersama para peminatnya

PENUH panggung wayang MBO The Spring dek kehadiran pelakon terkenal Fattah Amin yang turut menonton bersama para peminat filem terbaharu lakonannya berjudul ‘KL Special Force’ di Kuching baru-baru ini.

Meskipun tayangan filem itu bermula pada kira-kira jam 9.30 malam, para peminatnya memenuhi ruang legar MBO seawal jam 7.00 malam.

Sejurus tiba, Fattah diraikan dengan sorakan oleh para peminat yang kelihatan begitu teruja untuk melihat lebih dekat pelakon pujaan mereka.

Ada juga yang berharap agar isterinya Fazura muncul bersamanya, tetapi berakhir dengan kehampaan.

Tayangan tersebut dibawa khas oleh MRP International Sdn Bhd yang merupakan syarikat ditubuhkan Fattah - bertindak sebagai presiden dan ketua pegawai eksekutif.

MRP merupakan pengeluar produk makanan kesihatan, tanpa bahan terlarang iaitu MRP Diet & Berrytox.

Filem ‘KL Special Force’ diarahkan oleh Syafik Yusof terbitan bersama Skop Productions, Damofa Productions dan Viper Studios.

Filem penuh aksi yang mula ditayang di pawagam pada 8 Mac lepas, turut dibintangi Datuk Rosyam Nor dan Syamsul Yusof.

Ia mengisahkan unit khas polis yang berusaha menjatuhkan kumpulan perompak dikenali sebagai Geng Anarkis yang merompak Bank Damofa.

Fattah memegang watak Zul sebagai pegawai polis diserapkan ke dalam unit khas polis bagi membantu Roslan (Rosyam Nor) menyelesaikan kes rompakan.

Situasi menjadi bertambah rumit apabila ketua perompak, Asyraff lakonan Syamsul, berjaya memanipulasi perasaan, minda dan syak wasangka antara Roslan dan Zul.

Filem ini mencatat kutipan pecah panggung RM5.3 juta dalam masa lima hari tayangan.

Setakat 19 Mac, ia meraih kutipan pecah panggung tertinggi sebanyak RM9 juta dalam 10 hari tayangan.

Pada penghujung tayangan itu, Fattah diserbu para peminat yang sanggup berbaris panjang untuk mendapatkan peluang bergambar bersama pelakon pujaan mereka itu.

Advertisement