
SANDAKAN: Kerajaan negeri melakar pencapaian besar dalam usaha pemuliharaan hutan di Sabah adalah dengan mewujudkan kawasan perlindungan yang menempatkan populasi orang utan terbesar serta kepelbagaian hidupan liar lain di Hutan Rizab Ulu Segama dan Malua.
Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman berkata selepas hampir 60 tahun pembalakan dilakukan secara berterusan, ia dihentikan pada akhir tahun 2007.
“Walaupun terdapat beberapa pandangan sinikal mengenainya, ia memberikan mesej yang jelas dan tegas mengenai komitmen dan kesungguhan kita dalam pemuliharaan khazanah alam sekitar,” katanya.
Beliau berkata pemberhentian pembalakan akan membawa kepada pengurangan sekurang-kurangnya RM1 bilion dalam royalti balak kepada kerajaan dan pada ketika itu, ramai yang berpandangan sinis mengenai keputusan tersebut.
“Langkah ini membolehkan seluas 240,000 hektar diletakkan di bawah Pengurusan Hutan Lestari, untuk pemuliharaan habitat orang utan dan koridor hidupan liar lain yang merupakan sebahagian daripada kawasan Heart of Borneo, yang kaya dengan khazanah kepelbagaian biodiversitinya,” katanya.
Musa berkata demikian semasa merasmikan Majlis Perhimpunan CUEPACS di Dewan Serbaguna Libaran, pagi Isnin.
Beliau menegaskan kerajaan berusaha mewujudkan hutan yang terpelihara dan produktif di kawasan rizab hutan dan di kawasan hutan yang lain dengan rancangan pengurusan tersendiri.
“Di kawasan hutan yang tidak dilindungi sepenuhnya, pengambilan kayu dibuat secara mampan dan melindungi kawasan konservasi hutan yang bernilai tinggi, termasuklah kawasan tadahan air,” katanya.
Musa menjelaskan melalui Pengurusan Hutan Secara Mampan (SFM), 53 peratus daripada keluasan negeri Sabah atau 3.9 juta hektar tanah negeri diletakkan sebagai Rizab Hutan, Kawasan Perlindungan dan Kawasan Pemuliharaan Hidupan Liar.
“Kerajaan negeri juga memperuntukkan 30 peratus daripada jumlah tanah atau kawasan seluas 2.2 juta hektar sebagai Kawasan Dilindungi Sepenuhnya (TPA), yang kita harapkan dapat dicapai dalam tempoh lima tahun akan datang atau lebih awal dari itu. Peratusan ini melebihi sasaran 10 peratus yang ditetapkan oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN),” katanya.
Beliau memberitahu, perlu diingat bahawa Sabah berjaya memulihkan dan menanam semula hutan seluas lebih 700,000 hektar, yang mungkin merupakan usaha terbesar seumpamanya dilaksanakan di kawasan Tropika.
“Kerajaan Negeri Sabah telah dan akan terus mempromosikan Sabah sebagai pusat penyelidikan hutan hujan tropika yang melibatkan organisasi penyelidikan antarabangsa yang terkenal seperti The Royal Society of United Kingdom, The Nature Conservancy of the United States, Yayasan Sime Darby, Abraham Foundation, WWF-Malaysia IKEA, PETRONAS serta institusi pengajian tinggi tempatan.
“Kita mesti memperbanyakkan dan memperkayakan lagi kawasan hutan kita dengan pelbagai spesies kayu yang bernilai tinggi. Menjadi suatu penyesalan jika kita meninggalkan kawasan tanah yang tandus atau "padang jarak padang tekukur", untuk generasi yang akan datang,” katanya.
Di samping itu, Musa berkata Tanjung Aru Eco Development (TAED) yang merupakan konsep pembangunan paling mampan di Malaysia dan rantau ini akan mewujudkan impak positif dan limpahan ekonomi dan sosial serta kelestarian alam sekitar di negeri.
TAED adalah usaha pembangunan bersepadu pesisir pantai berkonsepkan eko pelancongan, seluas 348 hektar yang merangkumi pantai dan taman rekreasi, kediaman, hotel dan pusat komersil.
Ia adalah pembangunan mampan yang mesra alam sekitar serta berupaya merangsang ekonomi yang berdaya maju dan diterima oleh masyarakat.
“Kerajaan Persekutuan khususnya Perdana Menteri telah memperuntukkan sebanyak RM500 juta untuk melaksanakan projek ini,” katanya.
Turut hadir, isterinya Puan Sri Faridah Tussin, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Tan Sri Sukarti Wakiman, Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Nor Rizan Mohd Thani, Presiden Cuepacs Malaysia Datuk Azih Muda dan Pengerusi Cuepacs Sabah Maiman Muntail.