Anda di sini

Polis Marin Sabah tembak mati Raja Laut

Advertisement

Tragedi Oktober 1996 tidak dilupai Abdullah Ahmad

SM Abdullah Ahmad dianugerahkan Pingat Keberanian Polis yang disampaikan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor.
SM Abdullah Ahmad dianugerahkan Pingat Keberanian Polis yang disampaikan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor.

TRAGEDI menembak mati Raja Laut, Moloi Wuah @ Moloi Hijang pada 8 Oktober 1996 merupakan kejayaan salah satu kejayaan terbesar Pasukan Polis Marin (PPM) Sabah selepas penubuhannya pada tahun 1954. 

Moloi yang merupakan mundu atau lanun ditakuti nelayan dan penduduk menetap di pulau ekoran telah melakukan lebih 100 siri rompakan dan membunuh lebih 40 orang semasa merompak di perairan Pantai Timur Sabah, perairan Selatan Filipina dan perairan Tarakan Indonesia.

Rompakan terakhir yang dilakukan oleh Raja Laut ini terhadap nelayan tempatan berlaku di perairan Pulau Libaran, Sandakan pada 7 Oktober 1996. Moloi adalah individu yang dikehendaki tiga negara iaitu Malaysia, Filipina dan Indonesia.

Raja Laut ini dikatakan seorang yang berani ekoran tindakannya melakukan rompakan di perairan Sandakan dimana Ibu Pejabat Pasukan Polis Marin Sabah ketika itu terletak di Sandakan dan ia juga pernah mengutus sepucuk surat yang mengandungi 3 butir peluru 7.62mm kepada Pak Gito POLRI yang bertugas di Sungai Nyamuk Indonesia kerana cuba memburunya. 

Tindakan berani Raja Laut melakukan rompakan di perairan Sandakan itu telah menyebabkan Pasukan Polis Marin Sabah membuat tindakan pantas bagi memburunya.

Ketua Polis Marin Sabah pada ketika itu, Dato’ Isa Munir telah merancang satu strategi bagi operasi memburu Raja Laut dengan melibatkan penggunaan aset kapal ronda PX 30, kapal ronda PC 20 dan sebuah bot samaran.

Kapal ronda PX 30 yang diketuai oleh ASP Crist Goh membuat rondaan di kawasan kepulauan penyu membabitkan perairan Pulau Libaran, Selingan, Bakungan kecil dan sekitarnya. Manakala bot samaran yang diketuai oleh DSP Khairul keluar untuk mendapatkan maklumat serta membuat operasi samaran di kawasan berhampiran.

Sementara itu, kapal ronda PC 20 yang diketuai oleh Ketua Botronda, Koperal Abdullah Ahmad telah mendapat arahan dari Gerakan Marin Sandakan bagi membuat rondaan di perairan dari Pulau Tambisan hingga ke Kuala Sungai Mumiang.

Lakaran peta berlakunya pertempuran antara Anggota Polis Marin Kapal Ronda PC 20 dengan Raja Laut. Gambar kecil, Moloi Wuah yang mati ditembak.
Lakaran peta berlakunya pertempuran antara Anggota Polis Marin Kapal Ronda PC 20 dengan Raja Laut. Gambar kecil, Moloi Wuah yang mati ditembak.

RAJA LAUT TEMBAK KAPAL RONDA PC 20

Abdullah Ahmad yang mana pangkat terakhir perkhidmatannya Sarjan Mejar (SM) tidak pernah melupakan peristiwa 8 Oktober 1996 apabila anggota kapal ronda PC 20 yang diketuainya bersama Ketua Jentera Botronda, Kopral Abdullah Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Wak Dol, Lans Kopral Omar bin Yaakob, Lans Kopral Ahmad Nazri bin Yaakob dan Lans Kopral Mohd Salleh bin Ibrahim telah ditembak oleh Moloi yang merupakan orang yang dikehendaki pada masa itu.

SM Abdullah,56, memasuki Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) pada 28 Mac 1982 di Pusat Latihan Polis Jalan Geni Kuala Lumpur (Jalan Semarak) dan menjalani latihan selama enam bulan sebelum memilih memasuki Pasukan Polis Marin.

Beliau kemudiannya ditempatkan bertugas di Cawangan Polis Marin Kota Kinabalu sebelum dipindah tugas ke Cawangan Polis Marin Sandakan pada tahun 1989 hingga 2013 dan Pangkalan Polis Marin (PPM) Tawau sehingga bersara pada 2 Jun 2017.

Ketika bertugas 24 tahun di Pangkalan Polis Marin Sandakan, SM Abdullah memberitahu dimana pengalaman yang tidak dilupakan adalah peristiwa bertempur dengan Raja Laut yang mana pasukannya berjaya menembak mati mundu yang sangat dikehendaki pada masa itu.

Beliau menceritakan peristiwa itu, ia telah menerima maklumat dari Gerakan Marin Sandakan kira-kira pukul 1.30 pagi pada 8 Oktober 1996 bagi membuat rondaan dari Pulau Tambisan hingga ke Kuala Sg Mumiang.

“Kami ketika itu berlabuh di jeti Pulau Tambisan selepas menjalankan tugas rondaan dari Perairan Sandakan hingga ke perairan Dent Havent. Saya, Wak Dol, Omar, Ahmad dan Mohd Salleh membuat persiapan awal bagi menjalankan operasi memburu Raja Laut. Kami juga memastikan segala peluru dikeluarkan dan semua kelopak simpanan senjata M16 diisi peluru,” katanya.

M16 berserta pelancar roket M203
M16 berserta pelancar roket M203

Abdullah berkata kapal ronda kami telah meninggalkan Pulau Tambisan kira-kira pukul 5.30 pagi dengan menggunakan haluan 300 bergerak menyusuri dari Tenggara Sabah menghala Barat Laut.

“Kami telah menerima arahan melalui walkie talkie untuk berada Laut Meruap hingga Kuala Mumiang atas arahan Ketua Polis Marin Sabah,” katanya. 

Ketika operasi itu dijalankan difahamkan, Ketua Polis Marin Sabah, Dato’ Isa Munir sedang dalam perjalanan dari Sandakan menuju ke Davo Filipina menggunakan pesawat atas urusan tugas.

Abdullah berkata semasa berada antara Laut Kinabatangan dan Laut Segama kira-kira pukul 7.10 pagi dimana Wak Dol telah mengesan sebuah bot laju yang bergerak dalam kedudukan dua batu dari kapal ronda PC 20.  

“Wak Dol telah memberi isyarat lampu disamping melepaskan dua das tembakan peluru ‘Very Light’ kepada bot tersebut supaya datang ke kapal ronda untuk tujuan pemeriksaan. Wak Dol sebelum itu telah mencapai M16 sebagai langkah keselamatan kerana diskripsi bot laju dikesan itu sama seperti yang disampaikan oleh Gerakan Marin,”katanya. 

Beliau berkata bot laju itu kelihatan menambah kelajuan ketika berada dalam 300 meter semasa menuju ke arah kapal ronda PC 20.

“Wak Dol yang pada masa itu berada dihadapan kapal telah ternampak cahaya api dari arah bot laju itu tetapi mengendahkan sehinggalah sebutir peluru memecahkan ‘Wild Screen’ dan baru lah Wak Dol sedar kami di serang oleh mundu yang sebenarkan pihak marin buru,” katanya.

Abdullah memberitahu dimana ia kemudiannya membunyikan loceng amaran ‘Defend Station’ bagi mengejutkan anggota kapal ronda dan telah berlaku berbalas tembak.

“Ketika PC 20 sedang mengejar bot laju itu dalam berbalas tembak, Raja Laut telah melepaskan sebutir peluru M203 tetapi tidak menepati sasaran sebaliknya jatuh di hadapan haluan PC 20. Itu adalah satu detik sangat cemas tetapi tidak sedikit pun mematahkan semangat kami sebaliknya anggota PC 20 terus melepaskan tembakan.

“Ketika kejadian kejar mengejar dan berbalas tembak itu, kami telah melihat Moloi terjatuh ke laut dipercayai terkena tembakan namun kelihatan tidak mengalami sebarang kecederaan kerana berjaya naik semula ke dalam botnya,” katanya.

Beliau berkata setelah 15 minit bertempur akhirnya dua mundu tersbut berjaya ditembak mati yang mana salah seorang dari mereka adalah disahkan sebagai Moloi Wuah berdasarkan tahi lalat di pipi kanannya.

“Jika diperhatikan pada mayat kedua-dua mundu tersebut didapati baju mereka mempunyai banyak kesan koyak akibat tembakan namun hanya 3 butir peluru sahaja berjaya menembusi badan mereka,” katanya.
    
Abdullah berkata hasil pemeriksaan di dalam bot digunakan oleh mundu itu turut ditemui selaras M16 berserta pelancar roket M203, tiga kelopak, sepucuk pistol Colt .45, selaras Graned Launcher, tiga butir bom tangan dan sebiji bahan letupan.

“Pihaknya meminta bantuan selepas kejadian itu. Kapal ronda PX 30 dan sebuah bot samaran tiba di tempat kejadian sekitar pukul jam 10 pagi,” katanya.

Dalam pentempuran tersebut, pihak PPM telah menggunakan sebanyak 700 butir peluru 7.62 mm dan 450 butir peluru 5.56 mm. Mayat serta semua barang kes kemudian dibawa balik ke Pangkalan Marin Sandakan untuk tindakan lanjut.

Pistol Colt 45
Pistol Colt 45

LIMA ANGGOTA TERIMA PINGAT DAN SIJIL 

Atas keberanian, jasa dan pengorbanan lima anggota kapal ronda PC 20 yang bertempur dengan kumpulan mundu sehingga menembak mati Raja Laut dan seorang lagi ahli kumpulannya telah dianugerahkan Pingat Keberanian Polis dan Pingat Bentara Pasukan Polis.

SM Abdullah dan Wak Dol yang juga kini berpangkat SM telah dianugerahkan Pingat Keberanian Polis yang disampaikan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor pada 1 Mei 1998. Manakala Omar, Ahmad dan Mohd Salleh turut menerima Pingat Bentara Pasukan Polis.

Kelima-lima anggota polis ini juga menerima sijil penghargaan dari Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor atas kejayaan sama.

 Abdullah Ahmad (dari kiri), Abdullah Ibrahim, Omar, Ahmad Nazri dan Mohd Salleh bergambar selepas menerima sijil dan wang tunai.
TERIMA PENGHARGAAN: Abdullah Ahmad (dari kiri), Abdullah Ibrahim, Omar, Ahmad Nazri dan Mohd Salleh bergambar selepas menerima sijil dan wang tunai.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Maizan Shaari telah menyampaikan sijil penghargaan tersebut dalam satu perjumpaan khas di Perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di Kota Kinabalu.

Pada majlis itu juga,  kelima-lima anggota Polis Marin ini juga turut menerima wang tunai RM500 setiap seorang.

Sepanjang perkhidmatan SM Abdullah dalam PPM, beliau telah dianugerahkan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2009 dari Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Bersempena sambutan Peringatan Hari Polis ke 211 pada tahun ini , beliau  mengucapkan selamat maju jaya dan selamat bertugas semoga semua rakan-rakan dalam pasukan yang masih berkhidmat agar sentiasa diberkati Allah setiap masa serta negara kita sentiasa dalam keadaan aman sejahtera.

SM Abdullah juga melahirkan penghargaan kepada seluruh lapisan masyarakat Malaysia yang selama ini telah memberikan sokongan dan kerjasama padu kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

“Terima kasih juga kerana sentiasa menghargai khidmat bakti pengorbanan seluruh warga PDRM, termasuk seperti saya yang telah bersara dan lebih-lebih lagi mereka yang telah terkorban dalam mempertahankan kedaulatan negara,” katanya.

Beliau juga menyeru agar masyarakat terus memberi sokongan dan keyakinan kepada PDRM untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan.

“Kepada seluruh warga PDRM, berkhidmatlah dengan telus, tulus dan penuh komitmen. Kita yang telah memilih kerjaya murni ini sebagai profesion dan kita sepatutnya bersedia untuk memikul tanggungjawab yang diamanahkan dengan ko¬mitmen dan akauntabiliti serta integriti yang tinggi agar sentiasa dipandang tinggi di kaca mata masyarakat,” katanya.

Sijil penghargaan yang diterima oleh SM Abdullah Ahmad
Sijil penghargaan yang diterima oleh SM Abdullah Ahmad
Pingat Keberanian Polis yang diterima oleh SM Abdullah Ahmad dan SM Abdullah Ibrahim @ Wak Dol.
Pingat Keberanian Polis yang diterima oleh SM Abdullah Ahmad dan SM Abdullah Ibrahim @ Wak Dol.
Pingat Bentara Pasukan Polis yang diterima oleh Omar, Ahmad dan Mohd Salleh.
Pingat Bentara Pasukan Polis yang diterima oleh Omar, Ahmad dan Mohd Salleh.
  • oleh
  • Advertisement