Anda di sini

Laporan PAC jelas Najib tidak lakukan kesalahan

Advertisement

Tidak terdapat mana-mana ayat dalam laporan tersebut menyatakan beliau mencuri wang: Najib

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan bahawa laporan siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai 1Malaysia Development Bhd (1MDB) membuat kesimpulan bahawa beliau tidak melakukan sebarang kesalahan.

Najib turut menegaskan bahawa tidak terdapat mana-mana ayat dalam laporan tersebut yang menyatakan bahawa beliau telah mencuri wang dari syarikat tersebut atau pun duit derma daripada kerajaan Arab Saudi merupakan duit 1MDB.

Laporan tersebut membuat kesimpulan bahawa 1MDB merupakan satu model perniagaan, di mana ia tidak mempunyai asas yang kukuh kerana suntikan modal yang diberikan oleh kerajaan hanya sebanyak RM1 juta sahaja.

1MDB mempunyai program yang besar dan telah membuat pinjaman berjumlah RM42 bilion. Bagi jumlah pinjaman RM42 bilion, kadar faedahnya lima peratus setahun atau RM2 bilion setahun,” katanya pada sesi dialog bersama rakyat pada Majlis Pelancaran Laporan Tahunan Program Transformasi Negara (NTP) 2017, di sini kelmarin.

Sesi tersebut dikendalikan oleh Datuk Seri Idris Jala, penasihat NTP Perdana Menteri.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata punca permasalahan 1MDB ialah apabila perancangan awal untuk menyenaraikan Edra Energy digagalkan oleh pihak yang cuba mempolitikkan isu tersebut.

Sebenarnya mereka mahu menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara demokratik, dan isu ini dipolitikkan dengan pelbagai tohmahan, kononnya RM42 bilion (pinjaman) sudah hilang dan sebagainya.

Edra yang sepatutnya disenaraikan, dan berdasarkan perkiraan pada masa itu, kira-kira RM18 bilion hingga RM22 bilion dapat diraih daripada pasaran semasa disenaraikan, tidak dapat dilakukan,” katanya.

Bagaimanapun, Najib berkata kerajaan telah mengambil langkah positif dengan melaksanakan rasionalisasi 1MDB, yang kini berjalan lancar.

Perdana Menteri berkata kerajaan kini giat membangunkan Tun Razak Exchange (TRX) yang akan menjadi sebuah kawasan pembangunan ikonik, dengan pembinaan Mulia Towers yang dijangkakan siap pada Ogos ini.

Bandar Malaysia, yang akan menjadi terminal bagi Kereta Api Berkelajuan Tinggi, dua stesen MRT sedang dibangunkan dan kawasan berkeluasan 202.34 hektar itu dijangka menjadi kawasan yang mempunyai pembangunan terhebat dalam jangka masa beberapa tahun lagi.

Aset-aset ini, kita akan di monetise (jana keuntungan), dan kita akan gunakan untuk menyelesaikan hutang 1MDB, dan mengikut perkiraan, jika dapat kita peroleh nilai sebenarnya, ada kemungkinan kita boleh mencatat keuntungan menerusi program rasionalisasi ini,” katanya.

Najib turut menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa persepsi negatif yang timbul susulan isu MDB ini telah mengakibatkan pelaburan dari luar dan sektor swasta menurun.

Pada tahun 2010, bila kita mulakan (Dasar Transformasi Negara), kita lihat kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) dari segi pelaburan swasta, sebanyak tujuh peratus sahaja. Namun, angka itu telah melonjak kepada 11 peratus dalam tempoh tujuh tahun. Jadi apa yang diperkatakan (persepsi) itu tidak betul.

Nisbah pelaburan sektor swsta dan syarikat berkaitan kerajaan (juga) telah berubah, dengan sektor swasta kini menjadi enjin pertumbuhan dalam ekonomi (68 peratus) berbanding sektor kerajaan (32 peratus), berbanding 55 peratus kerajaan dan 45 peratus swasta sebelum ini,” katanya. — Bernama

Advertisement