Anda di sini

Wanita dipenjara gara-gara curi dua botol minyak pelincir

Advertisement

MIRI: Gara-gara mencuri dua botol minyak pelincir, seorang wanita warga asing dijatuhi hukuman penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret semalam.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk tujuan pengusiran setelah selesai menjalani hukuman penjara kelak.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Zuraini Ali Musa setelah meneliti beberapa faktor termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukannya serta mengambil kira kepentingan awam.               

Nur Alia Masyarah Abdullah, 29, dari Indonesia telah didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh didapati  telah mencuri sebotol minyak pelincir (4 liter) dan sebotol minyak pelincir (4T) yang kesemuanya bernilai RM182.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 7 malam, 8 Februari lalu di sebuah gudang di Jalan Muhibbah, Mega Emart Commercial Centre di sini.

Pendakwaan dilakukan ASP Mary Ong, manakala tertuduh tidak diwakili.

Advertisement