Anda di sini

Pegawai awam didakwa salah guna kuasa

Advertisement
 Mohd Syamsul (kanan) didakwa mendapatkan suapan dan menggunakan dokumen palsu.
MENGAKU TIDAK BERSALAH: Mohd Syamsul (kanan) didakwa mendapatkan suapan dan menggunakan dokumen palsu.

KOTA KINABALU: Seorang pegawai badan awam didakwa mendapatkan suapan dan menggunakan dokumen palsu, membabitkan pembekalan pelbagai barang kepada pejabat Cure & Care Rehabilition Center (CCRC) Papar, berjumlah RM163,437.

Mohd Syamsul Jikan, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Abu Bakar Manat, setelah semua pertuduhan dibacakan.

Tertuduh sebagai pembantu Antidadah Gred S22, didakwa atas 30 pertuduhan menggunakan kuasanya sebagai penyelenggara stor di CCRC, demi mendapatkan suapan untuk dirinya.

Dengan cara mengemukakan sebut harga syarikat Emmy Stationary miliknya, dipilih sebagai pembekal bekalan pejabat, baju program, peralatan sukan dan buku program kepada CCRC Papar.

Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Hukuman diperuntukkan, penjara selama tempoh 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan, atau RM10,000 mengikut mana-mana nilai yang lebih tinggi.

Tiga pertuduhan menggunakan dokumen sebut harga palsu, yang mana tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan, dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara selama dua tahun atau denda, atau dengan kedua-duanya.

Semua kesalahan dilakukan pada Januari hingga Oktober 2015 di pejabat CCR Papar, Batu 30, Jalan Papar-Beaufort, daerah Papar.

Timbalan Pendakwa Raya Rozanna Abd Hani daripada SPRM berkata, sekiranya mahkamah memberikan ikat jamin, cadangan sebanyak RM25,000 dicagarkan seorang penjamin tempatan.

Pihaknya juga mengenakan syarat agar pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah, di samping melaporkan diri sekali dalam sebulan di pejabat SPRM.

Mohd Syamsul memohon jumlah berkenaan dikurangkan, kerana perlu menanggung keluarga dan seorang anaknya menghidap penyakit Sistemik Lupus Eritematusus (SLE).

Abu Bakar menetapkan pada 25 April untuk sebutan semula kes terhadap tertuduh, yang diberikan ikat jamin RM50,000 deposit RM25,000 dicagarkan dua penjamin tempatan.

Tertuduh juga diperintahkan menyerahkan pasportnya kepada mahkamah, di samping melaporkan diri di pejabat SPRM sekali dalam tempoh dua bulan.

Advertisement