Anda di sini

Idris berasa rendah diri dilantik sebagai Ketua Penerangan PBB

Advertisement

KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri Muara Tuang Dato Idris Buang yang baharu dilantik sebagai Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menyambut pelantikannya dengan penuh perasaan rendah diri.

Menurutnya, beliau amat tersentuh apabila dilantik Presiden PBB Datuk Patingging Abang Johari Tun Openg menggalas tanggungjawab berat dalam parti tetapi beriltizam akan menunaikannya dengan sebaik mungkin.

Saya berasa rendah diri terhadap keyakinan diberikan dalam menggalas tanggungjawab ini.

Saya juga berazam akan memberikan yang terbaik dalam menunaikan tanggungjawab ke arah meletakkan PBB sebagai parti yang lebih kukuh dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat Sarawak,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau turut mengakui tugas tersebut amat mencabar dan berharap mendapat kerjasama dan sokongan penuh daripada pelbagai peringkat kepimpinan dalam parti.

Terima kasih kepada Presiden PBB dan semua pihak atas kepercayaan diberikan,” ujarnya yang menggantikan penjawat terdahulu, Dato Usop Sani.

Pelantikan itu diumumkan Abang Johari menerusi mesyuarat parti kelmarin.

Manakala, Timbalan Ketua PBB Satok Ibrahim Baki dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Agung PBB.

PBB pada Februari lepas mengadakan perhimpunan agung yang antara lain turut memilih barisan kepimpinan baharu parti bagi penggal 2017-2020.

Jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden Kanan Sayap Bumiputera tidak dipertandingkan yang masing-masing disandang Abang Johari, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan serta Datuk Seri Fadillah Yusof.

Turut tidak dipertandingkan ialah jawatan Ketua Pemuda dan Ketua Wanita yang disandang Gerald Rentap Jabu dan Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Empat Naib Presiden sayap Bumiputera yang dipilih ialah Datuk Julaihi Narawi, Dr Annuar Rapa’ee, Dr Abdul Rahman Junaidi dan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Bagi sayap Pesaka, jawatan itu tidak dipertandingkan.

Advertisement