Anda di sini

Hasilkan karya budaya tempatan: Hajiji

Advertisement
 Zakaria (lima kanan) bersama Abdul Adzis (empat kiri) bersama tetamu jemputan lain bergambar dengan penulis-penulis karya tempatan.
PENULIS: Zakaria (lima kanan) bersama Abdul Adzis (empat kiri) bersama tetamu jemputan lain bergambar dengan penulis-penulis karya tempatan.

KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Hajiji Nor menyarankan penulis buku di negeri ini supaya menghasilkan lebih banyak karya yang menggambarkan budaya tempatan.

Ini bagi memastikan warisan budaya manusia dapat dikekalkan dalam sebuah buku yang mampu menjadi rujukan generasi masa hadapan.

Beliau berkata pengeluaran dan pemerolehan buku per kapita menyediakan indeks sahih kepada pembangunan sosial sesebuah negara. Sebab itulah, pembangunan negara perlu bergerak selari dengan industri perbukuan negara.

“Untuk menjadikan industri perbukuan menyumbang kepada pembangunan negara dengan berkesan, buku yang diterbitkan perlu mengambil kira kepentingan dan keperluan negara.

“Buku yang dihasilkan perlu mempunyai latar belakang tempatan yang menggambarkan budaya dan persekitaran negara,” katanya semasa Majlis Pelancaran Karya Penulis Sabah Dan Menandatangani Perjanjian Penerbitan Buku antara Dewan Bahasa Dan Pustaka dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang disampaikan Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan Dan Perumahan Datuk Zakaria Edris.

Mengenai perjanjian itu, beliau melihat perkongsian pintar yang terjalin antara DBP dan UMS serta beberapa institusi lain di Sabah akan membantu menerbitkan banyak karya tempatan.

Pada Khamis, 24 karya penulis tempatan diterbitkan. Diharap karya penulis tempatan itu akan diterima masyarakat sebagai sumber bacaan bermanfaat dan menghiburkan.

Katanya, usaha menerbitkan karya tempatan ini seiring dengan matlamat penubuhan DBP untuk memperjuangkan bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan Melayu.

“Saya juga menyarankan agar cerita-cerita rakyat yang diterbitkan ini dapat diadaptasikan kepada filem, drama atau dokumentasi untuk siaran televisyen,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah DBP Datuk Abdul Adzis Abas berkata, DBP menjalin kerjasama dengan institusi luar seperti institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan dan persatuan penulis bagi mempercepat dan memerbanyakkan penerbitan buku.

Sempena pelancaran buku itu, DBP turut memeterai Perjanjian Penerbitan bersama UMS untuk menerbitkan buku interaktif kanak-kanak ‘Gergasi dengan Rumah Panjang’ yang menggunakan elemen Augmented Reality (Realiti Berperantara).

Melalui kerjasama itu, DBP akan menerbitkan buku bercetak manakala, UMS akan membangunkan aplikasi Augmented Reality berkenaan supaya ia boleh diakses secara digital.

Katanya, usaha itu sesuai dengan penerbitan masa kini bagi memenuhi kehendak generasi muda agar DBP tidak ketinggalan menyebarluaskan bahan bacaan berbahasa Melayu dalam persekitaran digital yang pesat.

Antara karya-karya terbaharu itu ialah ‘Apabila Burung Tidak Berkicau Lagi’ (Dg Mastura Pg Ismail), ‘Ayang Si Jaguh Kecil’ (Sunita Sahidin), Sayembara (Ruhaini Matdarin), ‘Mencari Bayang Adelaide’ (Witer Gunik), ‘Okong Srikandi Sungai’ (Lailah Elok), serta ‘Sapi Mandangan dan Apuk Daguan’ (Nelson Dino).

Advertisement