KUCHING: Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais melahirkan rasa bangga dengan pemilihan pemain skuad Piala Presiden Sarawak, Rivaldo Adrill Wilson menyertai kem latihan skuad bawah 21 tahun negara.
Posa berharap pemain pertahanan berusia 20 tahun kelahiran daerah Saratok itu menggunakan peluang terbaik itu sebaik mungkin untuk menempatkan dirinya dalam skuad negara.
“Satu kebanggaan kepada arena bola sepak Sarawak kerana seorang lagi pemain muda kita (Rivaldo) dipanggil untuk menyertai latihan bersama skuad bawah 21 tahun negara.
“Ini membuktikan Sarawak
tidak ketandusan pemain-pemain muda berkaliber yang mampu menyinar di peringkat tinggi jika terus diberikan kepercayaan.
“Saya berharap Rivaldo menggunakan peluang terbaik itu dengan sebaik mungkin untuk membuktikan kemampuannya agar terpilih mewakili skuad negara,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Beliau juga berharap pemilihan Rivaldo dapat menyuntik semangat pemain-pemain muda lain termasuk pemain-pemain senior agar terus berusaha meningkatkan prestasi masing-masing agar turut terpilih mewakili skuad negara suatu hari nanti.
Rivaldo antara 26 pemain yang berjaya melepasi saringan awal daripada seramai 42 pemain.
Kem latihan selama 10 hari itu diadakan di Wisma FAM sebagai persiapan menghadapi tiga kejohanan besar peringkat antarabangsa.
Kejohanan tersebut ialah Piala Ulang Tahun PSSI 2018 di Stadium Pakansari pada 27 April hingga 6 Mei, Kelayakan Kejohanan AFC B-23 Tahun dan Kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 tahun depan.