Anda di sini

Tangani penyalahgunaan bahan mengkhayalkan, kata Karim

Advertisement
 Karim (tengah) bersama Naib Presiden PEMADAM Kebangsaan Omar Osman dan ahli jawatankuasa PEMADAM yang lain pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa PEMADAM di sebuah hotel terkemuka di Kuching, semalam.
SIDANG MEDIA: Karim (tengah) bersama Naib Presiden PEMADAM Kebangsaan Omar Osman dan ahli jawatankuasa PEMADAM yang lain pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa PEMADAM di sebuah hotel terkemuka di Kuching, semalam.

KUCHING: Kerajaan persekutuan perlu memandang serius gejala penyalahgunaan bahan mengkhayalkan seperti gam, ubat batuk dan pil nospan dengan menggubal undang-undang khas untuk menanganinya.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahmah Hamzah berkata dengan adanya undang-undang seperti itu maka penjualan dan pembelian bahan-bahan tersebut akan dapat dikawal.

Undang-undang khas ini tidak dapat dibuat melalui Dewan Undangan Negeri (DUN), ia perlu di Parlimen tetapi walaupun sudah beberapa kali dicadangkan, ia masih tidak dilaksanakan.

Pada pandangan peribadi saya, mungkin penggubal undang-undang di Parlimen melihat ini sebagai masalah kecil sahaja dan tidak penting kerana banyak lagi masalah besar yang perlu ditangani terutama dadah.

Tetapi kami akan usahakan agar undang-undang ini dapat dikuatkuasakan kerana bagi kami, masalah ini adalah serius,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa PEMADAM di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.

Karim yang juga Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Sarawak berkata, pada masa ini polis narkotik termasuk Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) tidak dapat mengambil sebarang tindakan bagi memerangi gejala itu disebabkan tiada undang-undang.

Justeru, beliau akan membangkitkan semula mengenai keperluan undang-undang khas tersebut pada Mesyuarat Agung Tahunan PEMADAM Kebangsaan yang akan diadakan di sini, pada 31 Julai hingga 1 Ogos nanti.

Katanya undang-undang khas itu sangat diperlukan kerana penyalahgunaan bahan mengkhayalkan bukan sahaja menghancurkan masyarakat tetapi juga boleh menarik penagihnya terjerumus kepada dadah.

Sementara itu, Karim yang juga pengerusi Majlis Membanteras Dadah Sarawak menyifatkan penyalahgunaan dadah di Sarawak adalah masih terkawal termasuk di Lawas dan Limbang.

Katanya walaupun negeri ini agak mudah dicerobohi oleh kegiatan penyeludupan bahan terlarang itu melalui sempadan yang begitu luas, Sarawak masih kekal berada dalam kedudukan tiga terbawah dari segi masalah penyalahgunaan dadah di seluruh negara.

Sudah belasan tahun kita sentiasa di bawah dan ini adalah sesuatu yang membanggakan walaupun berhadapan ancaman dan risiko penyeludupan masuk dadah melalui jalan tikus di sempadan yang begitu luas.

Ini menunjukkan keberkesanan dalam program kesedaran khususnya terhadap belia kita agar tidak terjerumus dengan dadah, misalnya menerusi ceramah, motivasi termasuk kegiatan sukan dan riadah,” katanya.

Namun demikian, beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri akan terus memastikan sempadan Sarawak dikawal dengan ketat bagi mengekang kegiatan penyeludupan dadah.

Katanya, tumpuan akan diberikan di bahagian utara iaitu Limbang, Lawas, Miri dan Bintulu yang didapati agak mudah dibolosi.

Kita akan terus memperbaiki keadaan dan kalau dapat, kita mahu menjadikan masalah dadah adalah sifar di Sarawak,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement