Anda di sini

Sukarelawan tahfiz hadapi 38 tuduhan jenayah seksual

Advertisement
 Nasrul (tengah) dibawa anggota polis ke Mahkamah Sesyen Kuantan, semalam. — Gambar Bernama
LIWAT: Nasrul (tengah) dibawa anggota polis ke Mahkamah Sesyen Kuantan, semalam. — Gambar Bernama

KUANTAN: Seorang sukarelawan sebuah pusat tahfiz mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam, atas 38 pertuduhan jenayah seksual termasuk meliwat pelajar, sejak Julai tahun lalu.

Pengakuan Nasrul Arman Ahmad, 41, direkodkan di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali, sebaik sahaja pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah yang mengambil masa selama kira-kira setengah jam untuk berbuat demikian.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut antara Julai 2017 hingga Feb lalu, antara waktu petang dan awal pagi terhadap 10 orang mangsa berusia antara 12 hingga 17 tahun yang merupakan pelajar pusat tahfiz berkenaan.

Enam daripada mangsa melibatkan kesalahan liwat dan seks luar tabii manakala bakinya adalah untuk kesalahan gangguan seksual.

Tertuduh yang bertubuh kecil itu didakwa melakukan kesalahan itu di ruang tamu rumahnya di Taman Selamat, Jalan Teluk Sisek di sini dan di pusat tahfiz tersebut termasuk di dalam surau.

Tertuduh yang bekerja sebagai pembantu sebuah pusat pembelajaran didakwa dengan 29 pertuduhan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan manakala bakinya di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017.

Kedua-dua seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Farahah Mohd Nazari membantah jaminan diberikan kepada tertuduh atas alasan terdapat kebarangkalian tertuduh akan mengganggu mangsa dan melarikan diri kerana bimbang berhadapan dengan hukuman penjara, jika disabitkan kelak. — Bernama

Advertisement