Anda di sini

Penyeludupan digempur

Advertisement
 Sanudin menunjukkan barangan kes yang berjaya dirampas di dua lokasi dalam serbuan Ops Libas di Sibu pada sidang media, semalam.
BAHAN BUKTI: Sanudin menunjukkan barangan kes yang berjaya dirampas di dua lokasi dalam serbuan Ops Libas di Sibu pada sidang media, semalam.

SIBU: Kegiatan penyeludupan berjaya dibanteras apabila rokok dan minuman keras bernilai RM340,000 dirampas dalam dua operasi berasingan di sini, kelmarin.

Pegawai Pemerintah Batalion 10 Pasukan Gerakan Am (PGA) Superintenden Sanudin Mohd Isa berkata, dalam operasi pertama di sebuah premis di Jalan Sie Poi Kieng pada jam 8.15 malam kelmarin, 3,800 karton rokok seludup yang mempunyai nilai pasaran RM90,000 berjaya dirampas.

Dalam Ops Libas tersebut katanya, pemilik premis berkenaan yang berusia 30-an turut ditahan anggota penguat kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas cuba menyogok ketua serbuan.

Lelaki tersebut berkali-kali memujuk pegawai berkenaan untuk menerima wang tunai RM3,000 sebagai imbuhan bagi menyelesaikan perkara tersebut.

Bagaimanapun, pegawai SPRM yang turut serta dalam operasi berkenaan bertindak menahan suspek ketika proses penyerahan wang,” katanya pada sidang media di sini, pagi semalam.

Menurutnya, operasi bersepadu yang diketuai ASP Mohd Mazlan Mohd Ariff bersama 15 pegawai dan anggota Batalion 10, Cawangan Risik Ibu Pejabat Briged Sarawak, Cawangan Risikan Batalion 11 serta tiga pegawai SPRM di premis tersebut menemui 76 kotak (3,800 karton) rokok jenis Director Menthol yang kemudiannya dirampas.

Pemilik premis terbabit juga gagal menunjukkan sebarang dokumen pemilikan rokok berkenaan menyebabkan dia ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Sanudin berkata, barangan seludup itu disimpan di tingkat atas premis tersebut.

Barangan kes akan diserahkan kepada Jabatan Kastam Cawangan Sibu dan suspek ditahan SPRM untuk tindakan lanjut,” jelas Sanudin.

Terdahulu katanya, seorang lelaki berumur 20-an juga ditahan dalam operasi berasingan kerana dipercayai menjalankan aktiviti penyeludupan bir di sebuah stor di Jalan Wong King Huo, petang kelmarin.

Dalam operasi yang diketuai Inspektor Mohd Hafizhazman Hassan pada jam 5 petang itu, 2,850 kotak bir pelbagai jenis dan jenama dengan anggaran nilai keseluruhan RM250,000 berjaya dirampas.

Semasa pemeriksaan, terdapat dua stor di bahagian belakang premis itu di mana salah satu pintunya tidak berkunci.

Sanudin berkata, pasukan serbuan bertindak mengumpil pintu stor yang berkunci menggunakan pemotong besi untuk masuk ke dalam stor tersebut lalu menemui pelbagai jenis bir.­­

Kesemua barangan kes dirampas dan seterusnya diserahkan kepada pihak Kastam Sibu,” katanya.

Katanya, laporan mengenai kedua-dua kes telah dibuat di Balai Polis Sentral di sini.

Rampasan kali ini merupakan yang terbesar dilakukan setakat ini tahun ini,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menjelaskan kehadiran anggota SPRM membolehkan operasi serbuan dilakukan secara lebih telus, malah membolehkan pegawai SPRM mengambil tindakan segera apabila berlakunya sogokan.

  • oleh
  • Advertisement