Anda di sini

Marsha hadir beri keterangan kes aibkan Watson Nyambek

Advertisement
 Marsha tiba di Mahkamah Majistret Sibu untuk memberi keterangan.
AKUR: Marsha tiba di Mahkamah Majistret Sibu untuk memberi keterangan.

SIBU: Pelakon dan juga model Marsha Milan Londoh hadir di Mahkamah Majistret di sini semalam bagi memberi keterangan berhubung kes mengaibkan bekas pelari pecut negara Watson Nyambek.

Marsha yang pernah dikeluarkan waran tangkap sebelum ini, tiba di mahkamah untuk memberi keterangan sebagai saksi ketiga pendakwa raya.

Pada 29 Januari tahun ini, Majistret Saiful Sayoti memerintahkan agar waran tangkap dikeluarkan terhadap Marsha setelah dua kali gagal hadir di mahkamah.

Beliau akan memberi keterangan dalam perbicaraan kes pengacara rancangan Sukan Tak Sentral Azizul Ammar Abu Hassan, 31, dan penerbit rancangan Abdul Ghani Mokhtar, 42, yang dituduh menghina Watson dalam rancangan tersebut.

Azizul dan Abdul Ghani didakwa melakukan kesalahan itu pada 22 Mei, 2017 kira-kira jam 11.30 pagi di sebuah hotel di Jalan Wong King Huo dan didakwa mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

Seksyen ini memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kedua-dua mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pada 7 Jun tahun lepas dan dibenarkan bebas dengan ikat jamin RM3,500 berserta seorang penjamin.

 Dalam rancangan yang disiarkan itu, Azizul ketika menyebut nama ‘Watson Nyambek’ seakan-akan menyamakan bapa Watson, yang meninggal dunia tiga tahun lepas, dengan binatang.

  Marsha adalah pengacara yang bergandingan dengan Azizul dalam rancangan tersebut ketika kejadian.

Azizul dan Abdul Ghani diwakili peguam bela Orlando Chua, sementara pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Zulfadhli Tuah.

Mahkamah menetapkan 3 Mei ini bagi penggulungan kes.

Advertisement