Anda di sini

Lelaki cedera isteri, anak dijel 8 bulan

Advertisement
 Haswandi diiringi keluar dari Mahkamah Sesyen.
KE PENJARA: Haswandi diiringi keluar dari Mahkamah Sesyen.

SIBU: Mahkamah Sesyen di sini petang semalam menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan ke atas seorang lelaki yang didakwa mendatangkan kecederaan terhadap isterinya, 10 Januari lepas.

Tertuduh, Mohamad Haswandi, 44, turut dikenakan denda RM2,000 atau tiga bulan penjara oleh mahkamah sama selepas mengaku bersalah mendera anak perempuannya yang berusia 10 tahun.

Hakim Caroline Bee Majanil yang menjatuhkan hukuman itu, turut memerintahkan tertuduh berkelakuan baik selama dua tahun dengan ikat jamin RM3,000 berserta seorang penjamin.

Haswandi didakwa mencederakan isterinya, 33, di sebuah bilik sewa di Lorong Tun Ahmad Zaidi Adruce 39 pada 10 Januari, 2018, kira-kira jam 2 petang.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A, kanun yang sama.

Bagi pertuduhan mendera anak perempuannya, dia didakwa melakukan kesalahan itu di Lorong 6 Timur, Jalan Sentosa Salim pada 10 Januari, 2018, kira-kira jam 2.30 petang.

Untuk pertuduhan ini, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1), Akta Kanak-kanak 2001, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali, selain diperintah berkelakuan baik.

  Berdasarkan fakta kes, berlaku salah faham antara Haswandi dan isterinya apabila isterinya itu memohon untuk bercerai, menyebabkan tertuduh memukul mangsa di bahagian muka dengan menggunakan tangan.

Dalam kejadian itu, tertuduh juga mengejar serta melontar batu ke arah mangsa, di mana batu tersebut mengenai dahi anak perempuan mereka.

Berikutan kejadian itu, mangsa membuat laporan polis dan tertuduh ditangkap di hadapan sebuah kedai kopi di Lorong Tun Ahmad Zaidi Adruce 39.

Ketika kejadian, tertuduh yang tidak bekerja dikatakan di bawah pengaruh alkohol, namun masih sedar dengan persekitarannya.

Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Zulfadhli Tuah, sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Advertisement