KOTA KINABALU: Datuk Siringan Gubat seorang yang kuat bekerja, khususnya dalam membangunkan modal insan negeri, kata Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman semalam.
Sambil menyifatkan Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Sabah itu sebagai seorang sahabat yang baik, beliau berkata Siringan telah banyak menyumbang kepada pembangunan rakyat di negeri ini, khususnya golongan belia, dengan memberi banyak peluang latihan menerusi kementerian itu yang diterajuinya sejak 2013.
“Saya amat dukacita dan sedih kerana kehilangan seorang sahabat, seorang kawan yang juga seorang anggota jemaah menteri yang rajin dan amat dedikasi kepada kerjanya. Saya bagi pihak kerajaan negeri dan Barisan Nasional ingin menyampaikan salam takziah kepada keluarga mendiang.
“Saya berharap keluarga mendiang tabah dalam menghadapi masa sukar ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas memberi penghormatan kepada mendiang di Wisma Fook Lu Siew di sini semalam.
Musa, yang meluangkan masa selama sejam bagi memberi penghormatan kepada mendiang, turut disertai anggota kabinet negeri dan Setiusaha Kerajaan Negeri Tan Sri Sukarti Wakiman.
Siringan, 68, meninggal dunia akibat serangan jantung pada jam 10.57 malam kelmarin di sebuah hospital swasta, di sini
Mendiang meninggalkan isteri Datin Rozelind Gubat, empat anak lelaki, seorang anak perempuan dan seorang cucu.
Sementara itu, anak sulungnya Rexie Siringan, 35 mengakui kematian bapanya amat menyedihkan dan sukar diterima keluarga.
“Bapa saya diserang sakit jantung secara tiba-tiba dan terpaksa dikejarkan ke hospital. Tetapi kami terpaksa terima ajalnya sudah sampai,” katanya.
Jenazah Siringan, akan dibawa ke Kampung Kinirasan, Ranau pada Jumaat ini untuk dikebumikan pada keesokan harinya.
Siringan menjadi Ahli Parlimen Ranau sejak 2008 sebelum menjadi wakil rakyat Paginatan pada 2013 dan merupakan pemangku Timbalan Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO).
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang dijangka tiba untuk lawatan kerja ke Sabah petang ini, dijangka memberi penghormatan kepada mendiang sejurus tiba di sini kira-kira jam 1.30 petang semalam. — Bernama