Anda di sini

Serangan di sekolah tinggi Maryland, dua cedera

Advertisement

Penyerang, seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun, ditemui mati di Sekolah Tinggi Great Mills

 Kenderaan penguat kuasa undang-undang memenuhi laman Sekolah Tinggi Great Mills di Great Mills, Maryland susulan serangan tersebut, kelmarin. — Gambar AFP
TRAGIK: Kenderaan penguat kuasa undang-undang memenuhi laman Sekolah Tinggi Great Mills di Great Mills, Maryland susulan serangan tersebut, kelmarin. — Gambar AFP

GREAT MILLS: Seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun bersenjatakan pistol menembak seorang rakan sekelasnya hingga menyebabkan gadis terbabit cedera parah, dalam kejadian di sebuah sekolah tinggi Maryland kelmarin, kata pegawai.

Syerif Daerah St Mary’s Tim Cameron berkata, penyerang yang dikenal pasti sebagai Austin Rollins, mati akibat luka tembakan setelah seorang pegawai keselamatan sekolah bersemuka dengannya di Sekolah Tinggi Great Mills, selatan Maryland.

Cameron berkata, pegawai keselamatan itu melepaskan satu tembakan ke arah Rollins, tetapi tidak dapat dipastikan sama ada tembakan itu mengena atau suspek membunuh diri.

Serangan di Great Mills berlaku kira-kira lima minggu selepas pembunuhan beramai-ramai di sebuah sekolah tinggi Florida mengorbankan 14 pelajar dan tiga kakitangan dewasa, seterusnya mencetuskan kempen peringkat akar umbi bagi undang-undang lebih ketat berhubung pemilikan senjata.

Cameron berkata, Rollins mengeluarkan pistol separa automatik Glock di ruang depan sekolah sejurus sebelum kelas bermula dan menembak seorang gadis berusia 16 tahun yang dipercayai menjalin hubungan dengannya.

Mereka mempunyai hubungan sebelum kejadian ini dan bagaimana ia menjurus kepada kejadian ini, kami perlu menentukannya,” kata syerif itu.

Seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun di sekolah terbabit turut cedera ditembak dalam insiden itu, kata Cameron.

Mangsa berada dalam keadaan stabil di hospital.

Cameron pada mulanya berkata, pelajar berusia 14 tahun itu ditembak Rollins, tetapi beliau kemudian membayangkan kejadian sebenar masih belum diketahui.

Syerif berkata, Blaine Gaskill, timbalan syerif yang bertanggungjawab atas keselamatan sekolah, bertindak selepas mendengar bunyi tembakan di ruang depan sekolah dalam tempoh tidak sampai seminit selepas gadis berusia 16 tahun itu ditembak.

Beliau bertindak mengikut latihan yang kami berikan kepada kakitangan kami.

Beliau mencari penembak dan bersemuka dengannya,” kata Cameron.

Dalam insiden itu, beliau melepaskan satu das tembakan ke arah penembak yang pada waktu yang sama turut melepaskan satu das tembakan.

Menerusi siasatan terperinci, kita dapat menentukan sama ada tembakan pegawai sumber sekolah kami terkena penembak ataupun tidak,” katanya lanjut.

Selepas serangan di Great Mills, kira-kira 90 minit pemanduan ke tenggara ibu negara Amerika Syarikat (AS), Washington, pelajar dipindahkan ke sebuah sekolah berdekatan di mana mereka disatukan semula dengan ibu bapa mereka, kata Cameron.

Ia berlaku dengan amat cepat, sejurus selepas sekolah bermula,” kata seorang pelajar Great Mills, Jonathan Freese, kepada CNN.

Polis tiba dan bertindak dengan cepat sekali, ramai pegawai bertindak,” kata Freese.

Mollie Davis, yang memperkenalkan diri dalam Twitter sebagai pelajar di Great Mills, menulis siri tweet mengenai serangan itu.

Sekarang sekolah saya menjadi sasaran.

Kenapakah kita membiarkan ini terus berlaku?” katanya.

Saya begitu letih, amat letih.

Kita tidak menyangka ia akan berlaku kepada sekolah kita dan kemudian ia berlaku,” kata Davis.

Great Mills adalah sebuah sekolah yang hebat dan saya bangga untuk pergi ke tempat ini.

Kenapa kami?” katanya lanjut.

Pelajar di Sekolah Tinggi Marjory Stoneman di Parkland, Florida di mana 17 orang ditembak mati pada 14 Februari lalu, melancarkan kempen penuh emosi untuk kawalan senapang selepas serangan berlaku di sekolah mereka.

Mereka menganjurkan acara pada Sabtu ini yang dipanggil ‘March For Our Lives’, yang dijangka menarik ramai orang di bandar-bandar utama, dengan acara utama di Washington.

Emma Gonzalez, pelajar Stoneman Douglas, memberi sokongan dalam Twitter kelmarin kepada rakannya di Great Mills.

Kami di sini untuk anda, pelajar Great Mills.

Bersama kita dapat menghindari perkara ini daripada berulang,” kata Gonzalez.

Di bawah panji #ENOUGH, puluhan ribu pelajar sekolah tinggi AS meninggalkan bilik kelas di seluruh negara pada 14 Mac untuk membantah keganasan senapang.

Gabenor Maryland Larry Hogan menganggap serangan di Great Mills sebagai tragik dan berjanji untuk memperuntukkan lebih banyak sumber bagi keselamatan sekolah.

Kita perlu bertindak dan meningkatkan lagi usaha,” kata Hogan. — AFP

Advertisement