Anda di sini

Polis trafik mengaku tidak bersalah minta, terima rasuah

Advertisement

KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis trafik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas dua pertuduhan meminta dan memperoleh wang sebagai bayaran untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang lelaki yang memiliki kad pengenalan palsu.

Lans Koperal Lady Johari Idris, 55, didakwa secara rasuah meminta untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai RM3,000 daripada Chong Kun Choi, 57, sebagai dorongan untuk tidak mengambil sebarang tindakan undang-undang dan melepaskan pekerja Chong, Anhar Mansor yang disyaki memiliki kad pengenalan palsu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan dan jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Lelaki itu turut didakwa telah secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai RM2,000 daripada Chong melalui Anhar untuk tujuan sama mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 yang memperuntukkan hukuman sama.

Dia didakwa melakukan kedua-dua perbuatan itu di Balai Polis Trafik Tun HS Lee, Jalan Bandar, di sini pada jam 10.40 pagi, 13 November 2012.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Afiqah Ab Razak menawarkan wang jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan namun tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan dia perlu menanggung keluarga termasuk anak yang masih bersekolah.

Hakim Azura Alwi membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 12 April untuk sebutan semula kes.

Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri kepada SPRM setiap bulan. Bernama

Advertisement