Anda di sini

Pemberontak Syria akur keluar dari Ghouta Timur

Advertisement

Perjanjian yang diuruskan Rusia bakal menyaksikan pengunduran dari kubu kuat terakhir dekat ibu negara

 Anggota Pertahanan Awam Syria yang dikenali sebagai ‘White Helmets’ mengusung seorang lelaki yang cedera untuk menerima rawatan susulan serangan udara ke atas Douma, bandar utama Ghouta Timur kelmarin. — Gambar AFP
KECEMASAN: Anggota Pertahanan Awam Syria yang dikenali sebagai ‘White Helmets’ mengusung seorang lelaki yang cedera untuk menerima rawatan susulan serangan udara ke atas Douma, bandar utama Ghouta Timur kelmarin. — Gambar AFP

AMMAN: Satu perjanjian yang diuruskan Rusia telah dicapai untuk mengeluarkan sebuah kumpulan pemberontak Syria dari Ghouta Timur di barat laut Syria yang ditawan pembangkang dalam perjanjian pertama seumpamanya di kubu kuat pemberontak terakhir berhampiran ibu negara,  menurut dua sumber pembangkang semalam.

Pejuang dari kumpulan pemberontak Ahrar al Sham  yang mengawal pekan yang dirampas Harasta bersetuju untuk meletak senjata sebagai balasan kepada laluan selamat ke kawasan yang dikawal penentang dan tawaran pengampunan di bawah syarat-syarat penggabungan tempatan dengan pihak berkuasa bagi mereka yang masih ingin tinggal di situ, menurut sumber.

Pihak tentera Syria dan pasukan tentera bersekutu menawan semula 70 peratus wilayah yang berada di bawah kawalan pengganas di enklaf  tersebut dan selepas pengeboman beberapa  minggu yang menyebabkan ribuan penduduk melarikan diri.

Serangan berterusan tentera Syria yang dibantu kuasa udara Rusia bermula bulan lepas mengorbankan beratus-ratus orang, di mana serangan udara memusnahkan kawasan kejiranan.

Ribuan berlindung dalam bilik bawah tanah di sekitar enklaf yang mempunyai ramai penduduk itu, menurut anggota penyelamat dan badan pemerhati.

Perjanjian telah diterima dan akan dikuatkuasakan sejurus selepas gencatan senjata diumumkan seawal semalam,” menurut pegawai yang biasa dengan rundingan.

Ia akan bermula dengan pemindahan orang awam yang tercedera, tambah beliau, menyatakan orang awam yang masih tinggal di pekan itu berdepan penderitaan yang tidak terkata.

Seorang pegawai tempatan dalam majlis Harasta diuruskan pihak pembangkang dipetik syarikat berita penentang bahawa perjanjian telah dicapai namun tidak menyatakan bila ia dijangka dilaksanakan.

Pada tahun lepas, pemberontak melancarkan serangan utama ke atas beberapa berek tentera di hujung Harasta yang membawa kepada serangan balas.

Pertempuran itu antara yang paling sengit di Ghouta Timur sejak beberapa tahun ini.

Assad telah berikrar akan menamatkan apa yang digambarkannya sebagai ancaman pengganas.

Kelmarin, sebutir roket jatuh di kawasan kediaman terkenal di sekitar kawasan yang ditawan pemberontak, mengorbankan sekurang-kurangnya 40 orang, menurut pasukan perubatan dalam kawasan yang dikawal kerajaan.

Pihak berkuasa Syria menuduh pemberontak menembak roket dalam serangan balas dendam yang dinafikan pemberontak.

Lebih 100 orang awam terkorban dalam tempoh dua hari lepas akibat serangan udara di Ghouta Timur dengan kebanyakan serangan menyasari bandar Douma, pusat populasi terbesar yang masih dihuni lebih 150,000 orang.

Pemberontak dan penduduk menyatakan senjata berbahaya digugurkan di beberapa  kawasan umum bagi memaksa pihak pemberontak menyerah diri.

Ramalan bagi beratus-ratus pemberontak yang terperangkap di Harasta, salah satu pekan utama di Ghouta Timur, bertambah buruk selepas pihak tentera pada awal bulan ini berjaya memisahkan Ghouta  kepada tiga zon yang dikepung, memutuskan Harasta dari kawasan lain.

Ahad lepas, pihak tentera Syria memberi kata dua kepada pemberontak kawasan Harasta untuk berundur, menurut media negara.

Penduduk dan anggota penyelamat menyatakan pasukan tentera udara Rusia meningkatkan pengeboman ke atas pekan Harasta ketika rundingan dilakukan bagi mencapai perjanjian.

Perjanjian Harasta akan memberikan tekanan kepada dua kumpulan pemberontak utama, Failaq al-Rahman di bahagian selatan dan Jaish al-Islam di kawasan utara, untuk mencapai persefahaman.

Bagaimanapun mereka menyatakan secara umum mereka menolak tawaran Rusia untuk meninggalkan enklaf tersebut. — Reuters

Advertisement