Anda di sini

Peguam didakwa pengubahan wang haram lebih RM9 juta

Advertisement

KUALA LUMPUR: Seorang peguam yang pernah dituduh pecah amanah berhubung perjanjian jual beli tanah bernilai RM9 juta dua tahun lepas, didakwa lagi semalam atas 90 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan nilai lebih RM9 juta, tujuh tahun lalu.

How Chee Hong, 50, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Datuk Habibah Mohamed Yusof.

Berdasarkan pertuduhan pertama hingga 90, How didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu dengan cara memindahkan, menerima dan menggunakan wang keseluruhan berjumlah RM9,056,134, iaitu hasil daripada kegiatan haram daripada akaun semasa-i CIMB Bank Bhd milik firma guamannya Tetuan Kumar Jaspal Quah & Aishah.

Dia didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di CIMB Bank Bhd cawangan Solaris Mont Kiara, di sini antara 10 Januari 2011 dan 13 Januari 2012.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Subseksyen 4(1)(a) dibaca bersama 87(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613) dan boleh dihukum menerusi Seksyen 4 akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Syafinas Shabudin mencadangkan wang jaminan RM500,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan, namun peguam Datuk K. Kumaraendran yang mewakili How memohon ia dikurangkan kerana anak guamnya masih seorang pengamal undang-undang, mempunyai firma guaman sendiri dan tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri. — Bernama

Advertisement