Anda di sini

Lim Guan Eng bantah peguam Kirubakaran wakili Teng, bicara saman fitnah ditangguh

Advertisement

GEORGE TOWN: Mah-kamah Tinggi di sini, semalam menangguhkan perbicaraan saman fitnah Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng terhadap Pengerusi Barisan Nasional negeri Teng Chang Yeow dan tiga yang lain berhubung satu artikel berkaitan isu Pulau Jerejak.

Hakim Datuk Rosilah Yop membuat ketetapan itu di dalam kamar selepas membenarkan permohonan Lim untuk menggugurkan kelayakan peguam Datuk K. Kirubakaran untuk mewakili Teng dalam kes saman itu.

Kes saman itu ditetapkan untuk perbicaraan semalam.

Sementara itu Teng ketika ditemui pemberita di luar mahkamah memberitahu Lim memohon untuk menggugurkan kelayakan Kirubakaran untuk mewakilinya kerana peguam itu pernah mewakili kerajaan negeri Pulau Pinang dalam kes yang tidak berkaitan dengan kes saman hari ini.

Semasa saya melantik Datuk Kirubakaran, beliau telah memaklumkan kepada saya bahawa beliau pernah mewakili kerajaan negeri Pulau Pinang dalam kes yang tidak berkaitan dengan kes Pulau Jerejak.

Saya tiada bantahan terhadap maklumat ini kerana saya percaya kepada profesionalisme Datuk Kirubakaran. Perkara yang sama juga telah dimaklumkan oleh Datuk Kirubakaran kepada kerajaan negeri sebelum beliau dilantik oleh saya. Pada waktu itu juga tiada bantahan jadi saya terkilan dengan permohonan yang dibuat pada saat-saat akhir untuk menggugurkan kelayakan peguam saya,” katanya.

Teng berkata mahkamah kemudian menetapkan 13 April ini untuk pengurusan semula kes itu.

Lim memfailkan saman fitnah itu pada April tahun lalu dengan menamakan Teng yang juga pengerusi GERAKAN Pulau Pinang, syarikat Star Media Group Berhad, pengarang berita David Tan dan wartawan Crystal Chiam Shiying sebagai defendan.

Dalam pernyataan tuntutannya, Lim yang diwakili peguam Datuk N.Mureli mendakwa Teng telah memberi kebenaran dan/atau menyebabkan kenyataan-kenyataan fitnah dan palsu itu ditulis dan disiarkan dalam bentuk artikel di akhbar terbabit  dan laman web akhbar itu melalui defendan kedua, ketiga dan keempat.

Beliau mendakwa defendan ketiga dan keempat telah berniat jahat  menyebabkan kenyataan fitnah dan palsu dalam artikel bertarikh 16.11. 2016 bertajuk ‘Pulau Jerejak land sale questioned’ yang merujuk kepada plaintif (Lim).

Lim menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan, kos serta relif lain yang dikira wajar oleh mahkamah. Bernama

Advertisement