Anda di sini

Jual tanah Ijok: Enam termasuk dua bergelar Datuk direman

Advertisement
 Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membawa enam individu termasuk dua yang bergelar Datuk ke Mahkamah Majistret Putrajaya semalam untuk permohonan reman bagi membantu siasatan kes penjualan tanah milik kerajaan di Ijok, Selangor. — Gambar Bernama
DIBICARAKAN: Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membawa enam individu termasuk dua yang bergelar Datuk ke Mahkamah Majistret Putrajaya semalam untuk permohonan reman bagi membantu siasatan kes penjualan tanah milik kerajaan di Ijok, Selangor. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Dua lelaki yang bergelar Datuk merupakan antara enam individu yang direman empat hari untuk membantu siasatan kes penjualan tanah milik kerajaan di Ijok, Selangor semalam.

Antara yang direman ialah bapa dan anak lelakinya.

Majistret Khir Nizam Jemari membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dibuat di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini semalam untuk menyiasat keenam-enam individu itu sehingga 24 Mac ini.

Kesemua individu yang berumur antara 34 dan 84 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan kes penjualan tanah seluas kira-kira 880 hektar di Ijok kepada syarikat pemaju swasta pada harga RM1.18 bilion.

Mereka ditahan di Petaling Jaya, Selangor dan Ibu Pejabat SPRM di sini antara jam 12.45 tengah hari dan 4 petang kelmarin.

Mereka dibawa ke mahkamah untuk permohonan perintah reman itu kira-kira jam 9 pagi dengan baju lokap SPRM dan bergari.

Penjualan tanah itu mencetuskan kontroversi dan menimbulkan persoalan pelbagai pihak termasuk peneroka.

Kelmarin, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata siasatan pihaknya merangkumi penerimaan bayaran menerusi transaksi wang kira-kira RM200 juta kepada lima syarikat.

Beliau berkata SPRM kini juga sedang mengesan seorang lagi pengarah syarikat bergelar Datuk yang dipercayai berada di luar negara dan seorang lelaki lain bagi membantu siasatan kes sama.

Pasukan penyiasat juga telah membeku sembilan akaun peribadi dan syarikat bernilai RM39 juta milik semua suspek yang ditahan bagi membantu siasatan. — Bernama

Advertisement