Anda di sini

Hubungan sulit terbongkar

Advertisement

Penjawat awam beranak tiga dakwa kahwini pelajar bawah umur ditangkap kerana disyaki merogol.

 Suspek dibawa keluar dari bangunan Mahkamah Sibu, semalam.
REMAN TUJUH HARI: Suspek dibawa keluar dari bangunan Mahkamah Sibu, semalam.

SIBU: Seorang penjawat awam yang mendakwa telah berkahwin dengan seorang pelajar perempuan bawah umur di selatan Thailand awal tahun ini diberkas polis, kelmarin.

 Suspek, 52, berasal dari Pahang ditahan polis tengah hari kelmarin susulan satu laporan polis yang dibuat oleh ahli keluarga mangsa, 16.

 Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit yang mengesahkan tangkapan itu berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana disyaki merogol.

 “Siasatan lanjut masih dijalankan dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya di akhir siasatan kelak,” katanya ketika dihubungi, semalam.

 Stanley berkata, mangsa dipercayai mula menjalinkan hubungan sulit dengan suspek pada Ogos 2016.

 “Mangsa pernah dibawa oleh suspek ke sebuah hotel terkemuka di sini pada 5 Ogos 2016 dan mengadakan hubungan seks atas dasar suka sama suka,” ujarnya.

 Ketika itu katanya, mangsa berumur 15 tahun dan masih bersekolah di sebuah sekolah menengah di Kanowit.

 Pada 14 Mac lalu katanya, pengadu, 63, iaitu nenek mangsa membuat laporan orang hilang selepas mangsa yang kini bersekolah di sini bertindak keluar rumah.

 Namun katanya, pengadu terkejut apabila suspek menghantar mangsa pulang ke rumah pada Selasa lalu, malah mendakwa mereka telah berkahwin di selatan Thailand.

 “Suspek juga memberitahu mangsa telah memeluk Islam dan mereka telah bernikah di Majlis Agama Islam Narathiwat, Thailand pada 4 Januari tahun ini tanpa kebenaran dan pengetahuan pengadu,” katanya.

 Stanley berkata, suspek telah ditangkap pada hari yang sama dan ditahan reman selama tujuh hari mulai semalam untuk siasatan lanjut.

 Beliau menambah, suspek yang sudah berkahwin mempunyai tiga anak dan berkhidmat di sebuah jabatan kerajaan di Mukah.

  • oleh
  • Advertisement