Anda di sini

Raja dadah Laos meringkuk sepanjang hayat di penjara Thailand

Advertisement
 Gambar fail 18 April, 2017 menunjukkan Xaysana tiba di mahkamah di Bangkok. — Gambar AFP
DIPENJARAKAN: Gambar fail 18 April, 2017 menunjukkan Xaysana tiba di mahkamah di Bangkok. — Gambar AFP

BANGKOK: Seorang ketua dadah utama di Laos dikenali sebagai ‘Mr X’ dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup semalam oleh mahkamah di Bangkok, ketika Thailand berdepan penyeludupan methamphetamine melalui sempadannya.

Xaysana Keopimpha, rakyat Laos yang berlagak sombong yang mana sebelum penahanannya berbangga dengan hubungannya dengan para selebriti dan kegemarannya terhadap kereta mewah dalam media sosial, ditahan di lapangan terbang utama Bangkok pada Januari tahun lepas.

Dia dituduh sebagai ketua kumpulan rangkaian penyeludupan methamphetamine yang menyebarkan bertan-tan pil ‘yaba’ buatan Myanmar dan meth ‘ice’, melalui Laos Komunis dan ke dalam Thailand.

Laluan selatan Laos semakin banyak digunakan kumpulan penyeludupan yang berminat untuk sampai ke pasaran di Thailand, Malaysia dan sehingga ke Australia dan Jepun, di mana harga dadah bertambah tinggi.

Mahkamah di Bangkok pada mulanya menjatuhkan hukuman mati terhadap Xaysana namun mengurangkannya kepada penjara seumur hidup selepas dia mengakui beberapa tuduhan penyeludupan dadah, termasuk lebih 1.2 juta pil ‘yaba’ dalam kes 2016.

Disebabkan pengakuannya semasa proses siasatan, mahkamah mengurangkan hukumannya kepada penjara seumur hidup,” menurut  hakim Mahkamah Jenayah dalam keputusannya.

Bukti yang diperolehi daripada telefon bimbit mengaitkan Xaysana dengan rangkaian penyeludupan yang menggunakan Nong Khai, kawasan sempadan Thai dengan Laos, untuk membawa dadah ke selatan, tambah hakim tersebut.

Berdiri dengan tangannya bergari dan berseragam penjara, Xaysana tidak memberikan reaksi ketika keputusan mahkamah dimaklumkan.

Maklumat mengenai kehidupan Xaysana yang penuh warna-warni terbongkar selepas penahanannya tahun lepas.

Pihak penyiasat menyatakan dia berbangga dengan buku kenalan yang mempunyai nama golongan kaya dan berkuasa, termasuk beberapa selebriti Thai, yang mungkin membantu melindungi kartel narkotiknya.

Menurut pihak polis Thai, Bangkok dan subbandar sekitarnya menawarkan tempat persembunyian penting dan perlindungan  kepada sindiket dadah, dengan penjual kereta mewah serta selebriti membantu mengubah keuntungan Xaysana.

Mereka dikatakan membantu membawa dadah yang dihasilkan di Segitiga Emas, sebuah wilayah sempadan tiada undang-undang di mana penjuru Thailand, Laos dan Myanmar bertembung.

Kegiatan rasuah yang menular di sekitar zon itu membolehkan perniagaan dadah berkembang, namun sejumlah besar yaba dan ‘ice’ telah dirampas polis Thai.

Pada Januari, peronda tentera laut Thai merampas 11 juta pil meth daripada pengedar yang menggunakan Sungai Mekong untuk membawa dadah dari Laos ke Thailand.

Anggota polis menyatakan anggaran rampasan mempunyai nilai jalanan AS$100 juta, dengan pil yaba bernilai sehingga AS$10 sebiji di beberapa bahagian di Asia Tenggara.

Rejim komunis pemerintahan kuku besi Laos menjadikan negara pulau itu santuari pengedar dadah dan hidupan liar yang melarikan diri daripada tindakan polis yang lebih agresif di Thailand.

Pil yaba yang berkualiti paling tinggi, dengan keaslian meth 15 hingga 20 peratus, berasal dari kilang-kilang di Wa Utara dan Selatan, kumpulan etnik bersenjata di negeri pemerintahan sendiri di sempadan Myanmar-China, dan oleh puak bukit Lahu. — AFP

Advertisement