Anda di sini

Kekecohan berdarah gemparkan Kota Mexico

Advertisement

Ahli perniagaan Sepanyol dan ibu muda mati ditembak dalam dua kes berasingan di derah mewah

 Para pekerja kelihatan resah di dalam kedai kasut yang ditutup sementara anggota polis menjalankan siasatan di pusat beli belah Reforma 222 di tengah Kota Mexico, kelmarin. — Gambar AFP
KEGANASAN: Para pekerja kelihatan resah di dalam kedai kasut yang ditutup sementara anggota polis menjalankan siasatan di pusat beli belah Reforma 222 di tengah Kota Mexico, kelmarin. — Gambar AFP

KOTA MEXICO: Seorang ahli perniagaan Sepanyol berusia 75 tahun mati ditembak di kepala, manakala kejadian berasingan di sebuah pusat beli-belah  mewah kelmarin menyebabkan kematian seorang wanita muda, menurut pihak berkuasa.

Kejadian tembakan, yang berlaku di kawasan yang jarang dicemari keganasan bersenjata, merupakan insiden terbaharu dalam rekod keselamatan di ibu negara Mexico.

Jurucakap Peguam Umum Kota Mexico Edmundo Garrido menyatakan rakyat Sepanyol, Jose Gonzalez, disahkan mati di hospital selepas ditembak kira-kira jam 9.30 malam waktu tempatan Sabtu lepas di daerah barat laut Miguel Hidalgo.

Dalam satu kenyataan, pejabat peguam negara menyatakan lelaki itu ditembak di luar salah satu kedainya di bahagian Escandon, kawasan yang biasanya aman damai.

Motif tembakan masih dalam siasatan, menurut jurucakap yang tidak pasti jumlah penyerang Gonzalez.

Akhbar Sepanyol termasuk El Pais, menyatakan Gonzalez mempunyai kepentingan dalam beberapa hotel dan stesen minyak.

El Pais menyatakan Gonzalez adalah rakan beberapa peniaga terkenal Mexico dan kerap menghabiskan masanya di daerah asalnya Galicia di Sepanyol, separuh lagi di Mexico.

Dalam kejadian berasingan, seorang lelaki yang terlibat dalam perebutan hak penjagaan anak menembak ibu kepada anak perempuannya, kemudian mengacukan senjata itu ke arah dirinya sendiri di pusat beli-belah tinggi dan kompleks kediaman Reforma 222 di tengah Kota Mexico, kata pihak polis tempatan.

Lelaki itu memasuki sebuah kedai kasut di mana wanita itu bekerja tengah hari kelmarin dan menembak mangsa di bahagian perut sebelum menembak dirinya sendiri di kepala, kata pihak polis.

 Wanita itu, 28, kemudian mati akibat kecederaannya, menurut pejabat peguam negeri Kota Mexico dalam Twitter.

Kompleks itu mercu tanda Paseo de la Reforma, salah satu jalan utama di bandar, di mana  pegawai diplomatik asing di antara pendudukya.

Pembunuhan di Mexico mencecah paras rekod pada 2017, dan keganasan melemahkan keyakinan terhadap kerajaan Presiden Enrique Pena Nieto.

Kumpulan pemerintahannya Parti Revolusi Berperlembagaan berdepan kesukaran bagi menjamin perlantikan semula Pena Nieto pada Julai. — Reuters

Advertisement