Anda di sini

Jepun peringati ulang tahun serangan sarin

Advertisement

Anggota kultus Aum Shinrikyo, ketua mereka Shoko Asahara dijangka dihukum mati

 Pengurus stesen kecil Kasumigaseki Toyohiko Otomo membawa jambangan bunga untuk diletakkan di atas astaka peringatan mangsa serangan gas sarin 1995 di stesen berkenaan di Tokyo, semalam. — Gambar AFP
MASIH BERKABUNG: Pengurus stesen kecil Kasumigaseki Toyohiko Otomo membawa jambangan bunga untuk diletakkan di atas astaka peringatan mangsa serangan gas sarin 1995 di stesen berkenaan di Tokyo, semalam. — Gambar AFP

TOKYO: Jepun semalam memperingati ulang tahun ke-23 serangan berdarah sarin dalam kereta api bawah tanah di Tokyo, manakala spekulasi meningkat bahawa anggota kultus di sebalik serangan itu mungkin akan menjalani hukuman mati tidak lama lagi.

Dalam acara suram di stesen Kasumigaseki, salah satu sasaran serangan pada 1995 yang dikelilingi bangunan penting kerajaan, kakitangan stesen kereta api bawah tanah di Tokyo berhimpun untuk bertafakur sejenak dan meletakkan jambangan bunga.

Seramai 13 orang maut dan ribuan lagi cedera apabila anggota kultus Aum Shinrikyo membuang beg-beg berisi sarin ke dalam kereta api yang sesak pada waktu kemuncak, menebuk beg-beg tersebut dengan hujung payung yang ditajamkan sebelum mereka melarikan diri.

Agen saraf itu menyebabkan kecederaan dan kematian yang dahsyat, mencetuskan huru-hara besar-besaran, sekali gus mengubah ibu negara Jepun yang sibuk seperti zon perang.

Penumpang berpusu-pusu keluar dari stesen sambil muntah, batuk dan menghadapi kesukaran untuk bernafas, dengan khidmat kecemasan memberi rawatan untuk menyelamatkan nyawa di tepi jalan.

Ambulans dengan bingit bersimpang siur di jalanan, manakala helikopter mendarat di jalan besar untuk membantu mengeluarkan mereka yang terjejas.

Pada hari itu, pekerja Tokyo Metro, Kazumasa Takahashi, tanpa disedarinya mengutip bungkusan gas saraf yang sudah ditebuk dari lantai salah sebuah kereta api di stesen Kasumigaseki.

Dia dan seorang lagi rakan sekerjanya maut.

Saya datang ke sini pada hari ini, dengan perasaan yang sama setiap tahun,” kata balunya Shizue kepada pemberita di stesen tersebut selepas memberi penghormatan kepada mendiang suaminya.

Kesihatan beberapa mangsa semakin merosot dan beberapa keluarga juga sedang menempuh waktu yang amat sukar,” katanya dan menambah masa yang berlalu belum lagi memulihkan penderitaan yang dialami keluarga mangsa.

Selepas prosiding undang-undang bertahun-tahun, pendakwaan ke atas 13 anggota Aum Shinrikyo yang menunggu pelaksanaan hukuman mati bagi serangan itu dan jenayah lain akhirnya selesai Januari lalu, sekali gus membuka jalan kepada pelaksanaan hukuman.

Pada minggu lepas, pihak berkuasa mula memisahkan dan memindahkan mereka ke beberapa kemudahan tahanan yang berlainan dan dilengkapi infrastruktur untuk menjalankan hukuman mati dengan tali gantung.

Pemindahan itu menimbulkan spekulasi bahawa ketua kultus Shoko Asahara dan 12 pengikutnya yang menunggu pelaksanaan hukuman mungkin akan menjalani hukuman tidak lama lagi, walaupun belum ada petunjuk rasmi.

Pihak berkuasa Jepun biasanya mengumumkan pelaksanaan hukuman mati selepas hakikat itu, tanpa sebarang amaran awal.

Shizue Takahashi berkata, kepantasan pemindahan pada mulanya mengejutkannya, tetapi menegaskan hukuman lambat laun mesti dijalankan.

Hukuman mati diputuskan selepas perbicaraan yang lama, dan ia sudah memasuki fasa seterusnya,” kata Shizue Takahashi.

Ia bukan pada fasa di mana saya boleh menyatakan atau melakukan apa-apa mengenainya. Saya merasakan bahawa langkah harus diambil selari dengan undang-undang,” katanya.

Bagaimanapun segelintir pakar menentang hukuman mati itu, kecuali bagi Asahara, menyatakan pihak berkuasa berisiko menjadikan 12 tertuduh lain sebagai ‘korban’ yang akan membantu kultus yang menggantikan Aum untuk merekrut ahli baharu.

Sepuluh ahli menunggu pelaksanaan hukunan mati bagi serangan di stesen kereta api bawah tanah manakala tiga lagi dihukum atas jenayah lain.

Serangan itu menggegarkan ibu negara Jepun yang biasanya selamat dan metro Tokyo berikrar untuk menjaga keselamatan rangkaian landasan kereta apinya.

Kami sebagai sebuah syarikat akan terus berusaha memastikan keselamatan pelanggan supaya penumpang terus menggunakan kereta api bawah tanah tanpa sebarang kebimbangan,” syarikat itu menyebut dalam satu kenyataan. — AFP

Advertisement