Anda di sini

‘Bocey & Friends Live’ di Astro Warna, setiap Jumaat mulai 23 Mac

Advertisement
 (Dari kiri) Achey, Abam dan Fad. — Gambar Astro
BERSAMA BOCEY: (Dari kiri) Achey, Abam dan Fad. — Gambar Astro

KUALA LUMPUR: Bocey, satu-satunya kumpulan pelawak yang berjaya menjulang takhta juara Maharaja Lawak Mega sebanyak dua kali bakal muncul dengan program berkonsepkan persembahan komedi ‘Bocey & Friends Live’ pada 23 Mac.

Menurut Pengurus Saluran Astro Warna Norzeha Mohd Salleh selama lapan minggu berturut-turut Bocey akan disertai rakan seperjuangan mereka antaranya Zero, Puteh, Shiro dan selebriti jemputan yang bukan daripada kalangan pelawak bagi memeriahkan program tersebut.

Bocey & Friends juga menampilkan maestro muzik terkenal Datuk Ramli MS yang bertindak sebagai pengarah muzik.

Jika sebelum ini, kita selalu melihat sisi serius beliau ketika menduduki kerusi juri, kini secara eksklusif di ‘Bocey & Friends Live’ beliau tampil dengan wajah dan karakter yang cukup berbeza,” katanya pada majlis Sidang Media ‘Bocey & Friends Live’ di Great Eastern Mall Kuala Lumpur.

Selain itu, pihaknya juga mengetengahkan pelakon mantap Nasir Bilal Khan sebagai ‘Tukang Buka Panggung’ yang akan memberi pengenalan mengenai topik persembahan, manakala di penghujungnya, beliau akan merumuskan mesej atau nilai positif dalam persembahan tersebut.

SECARA LANGSUNG

Sementara itu, Bocey berkata kelainan Bocey & Friends berbanding rancangan komedi yang lain adalah mereka bersiaran secara langsung.

Selalunya kalau rancangan komedi kumpulan-kumpulan dilakukan secara rakaman tapi kami akan tampil siaran langsung dan apa sahaja yang terjadi di atas pentas adalah secara langsung dapat ditonton orang ramai di rumah.

Sama ada ia menjadi atau tidak kami membawa cerita atau sketsa dan memberi kesan kepada penonton ataupun tidak, itu akan dinilai penonton sendiri,” tambahnya.

Program yang bersiaran langsung pada setiap Jumaat jam 10 malam di Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124) itu bakal dikemudi Fad, Achey dan Abam yang mengetengahkan elemen lakonan dan nyanyian. — Bernama

Advertisement