Anda di sini

Sewa tiga PPR di Sandakan diturunkan

Advertisement

Kerajaan dengar rintihan rakyat demi kesejahteraan dan meringankan beban mereka

 Rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) Muhibbah antara tiga PPR yang diturunkan harga sewa dan diumumkan Musa pada Program Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan PPR Muhibbah semalam. — Gambar Bernama
HARGA TURUN: Rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) Muhibbah antara tiga PPR yang diturunkan harga sewa dan diumumkan Musa pada Program Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan PPR Muhibbah semalam. — Gambar Bernama

SANDAKAN: Sewa bulanan bagi tiga Program Perumahan Rakyat (PPR) di daerah ini iaitu Muhibbah, Harmoni dan Batu Sapi diturunkan dari RM220 hingga RM245 kepada RM170.

Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman berkata ia bertujuan meringankan beban rakyat yang tinggal di PPR berkenaan dan selepas mendengar rintihan mereka yang meminta kerajaan menurunkan kadar sewa bulanan itu.

Beliau berkata keputusan itu juga dibuat atas persetujuan bersama kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan berdasarkan faktor kesejahteraan rakyat.

Kerajaan persekutuan dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sentiasa peka dan mendengar rintihan rakyat selain sedar akan tanggungjawab membantu dan meringankan beban rakyat,” katanya ketika mengumumkan penurunan kadar sewa bulanan itu pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di PPR Muhibbah di Batu 12 dekat sini, semalam.

Justeru, beliau meminta penghuni di PPR tersebut dan PPR yang ada di negeri ini supaya menjaga kebersihan dan penyelenggaraan kediaman mereka dengan baik.

Seramai 500 keluarga menghuni PPR Muhibbah manakala PPR Harmoni di Batu 2 (1,000 keluarga) dan PPR Batu Sapi (180 keluarga).

Dalam pada itu, seorang penghuni PPR Muhibbah, Idris Abdullah, 56, menyifatkan penurunan kadar sewa bulanan itu membuktikan kerajaan mendengar rintihan rakyat yang tinggal di PPR yang menghadapi beban membayar sewa itu.

Setelah dapat tinggal di rumah dan kawasan perumahan yang selesa, kini beban kami diringankan lagi untuk membayar sewa bulanan,” katanya

Seorang lagi penghuni PPR yang sama, Damsah Salim, 54, berkata sebagai wakil rakyat di kawasan itu, Musa banyak melaksanakan pembangunan di kawasan Muhibbah yang berubah dengan ketara berbanding dahulu.

Katanya selain wujudnya PPR Muhibbah dengan jalan raya yang baik, kawasan itu turut dilengkapi dengan kemudahan masjid, bangunan kedai, balai polis dan Kompleks Cahaya untuk orang buta. — Bernama

Advertisement