Anda di sini

Salah pilih jalan punca dua pelajar sesat dalam hutan

Advertisement
 Khairul yang ditemui pada jam 11.30 pagi disambut oleh ahli keluarganya.
SELAMAT: Khairul yang ditemui pada jam 11.30 pagi disambut oleh ahli keluarganya.

TAWAU: Salah pilih jalan, punca dua pelajar praktikal Politeknik Sarawak sesat dalam Hutan Simpan Taman Bukit Tawau (TBT) di sini, sehingga terpaksa minum air lopak, makan buah hutan serta bermalam di atas batu dan tanah, sebelum dapat diselamatkan.

Mohd Khairul Siwwes, 21, ditemukan jam 11.30 pagi di Mini Hidro Kampung Gudang Empat, (4km dari Pejabat Tadbir TBT) dan Hafizam Abdawah, 21, di Gunung Maria (12.2km) jam 3.19 petang.

Utusan Borneo yang berada di lokasi kejadian diberitahu bahawa insiden kali ini menjadi kes orang sesat paling lama dicari dan paling jauh tersasar dari Pejabat Tadbir TBT.

Difahamkan, ketika dalam perjalanan pulang dari air panas, mereka keliru apabila tiba di jalan bersimpang dua yang menuju Canopy Walkway dan satu lagi ke arah Gunung Maria.

Hafizam sendiri menyangkakan dirinya sesat kira-kira 800 meter dari laluan asal, namun renjer hutan yang menemuinya memberitahu dia sebenarnya tersasar sejauh 8km.

Menceritakan pengalamannya sesat di dalam hutan, beliau berkata insiden itu bermula ketika mereka terjumpa dengan jalan yang bersimpang dua semasa dalam perjalanan balik.

Pada masa itu, mereka keliru memilih jalan yang hendak dilalui sebelum bertindak meneruskan perjalanan dengan mengikut reben berwarna merah putih sebagai panduan.

Sepanjang perjalanan, kami ada menemui ‘camp site’ dan mengharungi hujan lebat sehinggalah reben itu sudah tidak kelihatan menyebabkan kami terpaksa cari cara lain.

Masa itu kaki saya juga sudah terseliuh, tetapi Khairul kata kami kena teruskan perjalanan dan kami mesti balik, jadi saya mengikutinya dan meneruskan perjalanan.

Sehinggalah kaki terasa kebas dan saya minta Khairul berjalan dahulu dan kalau ada ‘apa-apa’, saya minta dia beritahu renjer hutan bahawa saya di Gunung Maria,” katanya.

Ketika diberitahu bahawa Khairul ada cuba mencarinya di tempat asal dia ditinggalkan, Hafizam berkata dia tidak berada di lokasi asal kerana turut cuba mencari kawannya itu.

Apabila hari hampir gelap, Hafizam berkata dia terus mencari pokok untuk berteduh dan membina tempat berteduh dari daun-daun di bawah sebatang pokok berbentuk segitiga.

Memang imaginasi diri pada ketika itu (bersendirian dalam hutan pada hari gelap - malam) ada macam-macam dan berfikir yang bukan-bukan,” katanya.

Beliau berkata pada keesokan harinya dia cuba menjejak lokasi terakhir reben merah putih terbabit tetapi tidak menemuinya sebelum berpatah balik ke Gunung Maria.

Mujur panggilan telefon pada jam 10 pagi kepada keluarganya dapat disambung kepada pihak TBT yang memintanya berteriak untuk memudahkan tim SAR menemuinya.

Tim SAR terpaksa mengambil masa lebih lima jam untuk membawa Hafizam ke pejabat tabdir TBT, akibat keadaan fizikalnya yang terlalu lemah, letih, haus dan kelaparan.

Hanya kira-kira jam 8.30 malam baharulah Hafizam yang diiringi tim SAR tiba di pejabat tadbir TBT dan dipertemukan semula dengan ahli keluarga yang menantinya.

Saya tidak percaya boleh (sesat) sampai ke Gunung Maria dan balik dengan selamat, sebab tidak larat (untuk meneruskan perjalanan) dan ada terfikir mahu tinggal di hutan.

Saya berterima kasih kepada pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang sanggup bertungkus-lumus menyelamatkan kami, tanpa mereka mungkin kami tidak selamat.

Begitu juga dengan ahli keluarga dan rakan-rakan yang mendoakan keselamatan kami, tanpa doa kalian mungkin saya masih lagi ‘tersangkut’ di gunung,” katanya.

Ayah kepada Hafizam iaitu Abdawah Saluan, 41, bersyukur kerana anak lelakinya selamat dan berterima kasih kepada tim SAR yang berusaha menyelamatkan anaknya.

Untuk rekod, Khairul dan Hafizam mula terpisah kira-kira jam 4 petang Jumaat dan ditemukan oleh pasukan SAR pada masa dan lokasi yang berasingan, keesokan harinya.

Sehari sebelum kejadian, kedua-dua pelajar itu pergi ke TBT kerana majikan mereka merancang mendirikan projek rumah atas pokok di hutan simpan itu.

Pasukan SAR disertai 12 bomba, 11 polis, 30 renjer Taman-Taman Sabah dan tiga pasukan penyelidik yang menjalankan kajian The Bornean Carnivore Programme di TBT.

Advertisement