Anda di sini

Putin gondol penggal keempat

Advertisement

Kemenangan besarnya catat rekod, hanya sekutu rapat ucap tahniah

 Putin berucap di hadapan orang ramai semasa rali dan konsert meraikan ulang tahun keempat perampasan Crimea di Dataran Manezhnaya di Moscow, kelmarin. — Gambar AFP
MENANG BESAR: Putin berucap di hadapan orang ramai semasa rali dan konsert meraikan ulang tahun keempat perampasan Crimea di Dataran Manezhnaya di Moscow, kelmarin. — Gambar AFP

MOSCOW: Vladimir Putin semalam dijangka memegang kuasa bagi tempoh enam tahun lagi selepas kemenangan besar yang mencatat rekod dalam pilihan raya presiden Rusia namun setakat ini hanya sekutu rapat mengucapkan tahniah ketika hubungan Moscow dengan Barat sedang tegang.

Putin, yang sudah hampir dua dekad memerintah Rusia, merekodkan persembahan pilihan raya terbaiknya dengan undian sebanyak 76.67 peratus namun menolak kemungkinan akan terus memegang kuasa selamanya.

Pihak pembangkang menyatakan keputusan pilihan raya dicemari, melaporkan mengenai penambahan undi dan kesan lain penipuan ketika Kremlin mendesak keputusan tinggi bagi memberikan kesahihan besar bagi penggal keempat bersejarah Putin.

Putin, yang melanjutkan kuasanya sehingga sekurang-kurangnya 2024 dan pemimpin Rusia paling lama berkhidmat sejak Stalin, bagaimanapun menolak untuk kekal sebagai presiden selama-lamanya.

Dengar kata saya, bagi saya apa yang kamu katakan agak lucu,” beliau memberitahu wartawan malam kelmarin ketika ditanya sama ada beliau akan bertanding lagi bagi jawatan presiden pada 2030.

Apa, adakah saya hanya akan duduk di sini sehingga saya berusia 100 tahun? Tidak.”

Pemimpin Rusia itu menewaskan tujuh calon lain, namun pengkritik paling kuatnya Alexei Navalny dilarang daripada mengundi tas sebab-sebab perundangan dan keputusan akhir itu tidak pernah diragui.

Saya melihat pada keputusan ini dengan penuh keyakinan dan harapan bagi rakyat kita,” kata Putin dalam ucapan di hadapan orang ramai di dataran berhampiran Kremlin selepas keputusan akhir pilihan raya meletakkannya dalam laluan kemenangan besar.

Kehadiran pengundi lebih 67 peratus ketika pihak berkuasa menggunakan kedua-dua cara bagi menambahkan penglibatan dalam pilihan raya.

Pertandingan swafoto, hadiah, festival makanan dan penghibur kanak-kanak dilancarkan di pusat pe-ngundian dalam usaha untuk mencetuskan suasana pesta sepanjang pilihan raya.

Namun pekerja negara dan syarikat swasta dilaporkan berdepan tekanan untuk mengundi.

Menurut data suruhanjaya pilihan raya pusat dengan 99.8 peratus daripada undi yang dikira, Putin mendapat 76.67 peratus undi, jauh mendahului pencabar terdekatnya calon Parti Komunis Pavel Grudinin, yang mendapat 11.79 peratus.

Calon ultranasionalis Vladimir Zhirinovsky memperolehi kira-kira 5.66 percatus, bekas pengacara televisyen realiti Ksenia Sobchak dengan 1.67 peratus, sementara ahli politik liberal veteran Grigory Yavlinsky menerima hanya satu peratus undi.

Sejak pertama kali dilantik sebagai presiden pada 2000, Putin menetapkan kekuasaannya di negara paling besar di dunia itu, menepis pembangkang, meletakkan televisyen di bawah kawalan negara dan pendirian Moscow di luar negara.

Bekas pegawai KGB berusia 65 tahun itu menggunakan kempen presiden bagi menekankan peranan Rusia sebagai kuasa utama dunia, berbangga dengan senjata nuklear baharu yang tiada tandingannya dalam ucapan prapilihan raya.

Dalam peringkat awal pe-ngundian, satu krisis baharu meletus dengan Barat ketika Britain mengaitkan Putin dalam komplot meracuni bekas ejen penyamar Sergei Skripal dengan ejen saraf yang direka Soviet.

Sebagai respons, London mengusir 23 diplomat Rusia, mendesak tindakan balas Moscow.

Juga pada minggu ini, Washington mengenakan Rusia dengan sekatan kerana cuba mempengaruhi pilihan raya Amerika Syarikat (AS) pada 2016.

Presiden menyatakan beliau akan menggunakan penggal keempatnya untuk menangani beberapa masalah domestik termasuk kemiskinan meluas dan penjagaan kesihatan yang lemah. — AFP

Advertisement