Anda di sini

Pelajar perempuan maut terjatuh dari keretapi

Advertisement
MANGSA terseret kira-kira 50 meter selepas terjatuh dari keretapi.
MANGSA terseret kira-kira 50 meter selepas terjatuh dari keretapi.

BEAUFORT: Seorang remaja perempuan maut selepas terjatuh dari keretapi kira-kira jam 1.40 petang pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Azmir Abd. Razak berkata, mangsa dikenali sebagai Siti Intan Suraya Ambran, 15, yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Entabuan Tenom.

Menurutnya, kejadian terbabit berlaku di landasan keretapi Batu 62 dekat sini.

"Sebelum kejadian, mangsa bersama kakak sepupunya dalam perjalanan dari stesen keretapi Beaufort menuju ke Tenom.

"Memandangkan gerabak penumpang penuh, mangsa dan sepupunya terpaksa duduk di tepi pintu.

"Pada masa itu, keadaan lutut mangsa sedikit terkeluar dari gerabak," katanya mengesahkan kejadian di sini pada Isnin.

Beliau berkata, sepupu mangsa terdengar mangsa menjerit tiba-tiba dan melihatnya tersangkut pada sebatang kayu sebelum terjatuh ke landasan keretapi.

Azmir berkata, hasil siasatan awal mendapati tempat kejadian adalah kesan tanah runtuh yang mengakibatkan sebatang kayu kering tumbang ke arah landasan.

Katanya, hujung kayu terbabit sangat hampir pada badan gerabak hingga menyebabkan ia terkena lutut mangsa.

"Selepas terjatuh, mangsa terseret kira-kira 50 meter dan kaki kirinya bergesel dengan rel keretapi.

"Akibatnya mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," jelasnya.

Menurutnya, keretapi dua gerabak itu membawa seramai 133 penumpang dan mangsa berada di bahagian gerabak pertama (kepala gerabak).

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Beaufort untuk siasatan lanjut dan kes disiasat sebagai Mati Mengejut (SDR).

  • oleh
  • Advertisement