Anda di sini

Isu Rohingya bayangi lawatan Suu Kyi ke Australia

Advertisement
 Suu Kyi berjabat tangan dengan Turnbull sewaktu pertemuan mereka di Rumah Parlimen di Canberra, semalam. — Gambar AFP
DIBAYANGI ROHINGYA: Suu Kyi berjabat tangan dengan Turnbull sewaktu pertemuan mereka di Rumah Parlimen di Canberra, semalam. — Gambar AFP

SYDNEY: Pemimpin Myanmar Aung San Suu Kyi tiba di Canberra semalam, disambut barisan kehormat tentera dan Perdana Menteri Australia Malcolm Turnbull, yang akan membangkitkan isu hak asasi manusia semasa lawatannya.

 Suu Kyi berada di Australia sejak Jumaat, menghadiri sidang kemuncak khas para pemimpin Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) di Sydney, di mana kehadirannya menarik protes jalanan dan saman menuduh beliau melakukan jenayah terhadap kemanusiaan.

 Peguam Negara Australia menegaskan saman tersebut tidak akan dibenarkan, di mana ia telah difailkan peguam aktivis di Melbourne bagi pihak komuniti Rohingya Australia, kerana Suu Kyi mempunyai kekebalan diplomatik.

 Sejak meraih kuasa pada 2016, Suu Kyi yang memenangi Hadiah Nobel Keamanan 1991 atas perjuangannya untuk demokrasi di Myanmar, berdepan kritikan memuncak kerana gagal mengecam, apatah lagi menghentikan serangan ketenteraan ke atas kelompok minoriti Rohingya Muslim di negaranya.

 Pegawai PBB berkata, hampir 700,000 Rohingya Muslim telah melarikan diri dari negara majoriti Buddha itu Bangladesh selepas serangan militan pada 25 ogos tahun lepas mencetuskan kempen besar-besaran di negeri Rakhine yang didakwa PBB dan Amerika Syarikat (AS) sebagai pembersihan etnik.

 Penyiasat bebas PBB bagi hak asasi manusia di Myanmar, Yanghee Lee, berkata di Geneva bulan ini bahawa beliau melihat semakin banyak bukti untuk menyokong dakwaan tersebut.

 Myanmar bagaimanapun menafikan kesemua dakwaan tersebut dan menuntut bukti jelas mengenai pencabulan yang dilakukan pasukan tenteranya.

 Suu Kyi dan Turnbull tidak membuat sebarang kenyataan awam sebelum pertemuan mereka, namun PM Australia itu berkata kelmarin bahawa Suu Kyi membincangkan dengan panjang lebar semasa mesyuarat ASEAN mengenai Rakhine dan merayu bantuan kemanusiaan daripada negara-negara jiran Asia Tenggara.

 Suu Kyi dijadual berucap dan menjawab soalan pada acara badan pemikir polisi asing di Sydney hari ini tetapi membatalkannya atas alasan kurang sihat, jelas penganjur acara tanpa memperincikan lanjut.

 Jurucakap Suu Kyi Zaw Htay enggan mengulas dan merujuk semua soalan kepada kedutaan Myanmar di Canberra. — Reuters

Advertisement