Anda di sini

Hotel kasino di tengah Manila terbakar

Advertisement

Asap tebal menyukarkan anggota bomba, lima kematian disahkan setakat ini

 Puluhan jentera bomba giat memadam kebakaran yang memusnahkan beberapa tingkat bangunan Waterfront Manila Pavilion Hotel and Casino di Manila, kelmarin. — Gambar AFP
TUGAS BERAT: Puluhan jentera bomba giat memadam kebakaran yang memusnahkan beberapa tingkat bangunan Waterfront Manila Pavilion Hotel and Casino di Manila, kelmarin. — Gambar AFP

MANILA: Anggota bomba Filipina menyatakan semalam angka kematian akibat kebakaran di sebuah hotel di ibu negara Manila meningkat kepada lima orang, selepas mengesahkan dua lagi kematian dan kebakaran itu berjaya dipadamkan kira-kira 24 jam selepas itu.

 Kesemua mangsa merupakan pekerja di kasino hotel yang dimiliki dan dijalankan pengatur permainan negara Philippine Amusement and Gaming Corporation.

 Biro Perlindungan Kebakaran (BFP) menyatakan ia masih lagi mengesahkan satu laporan bahawa seorang lagi mangsa telah dibawa ke hospital turut terbunuh.

 Kesemua mangsa maut adalah pekerja kasino, manakala kira-kira 20 orang lagi cedera.

 Kira-kira 300 tetamu dan lebih 70 pekerja Pagcor, diarahkan keluar dari Waterfront Manila Pavilion Hotel and Casino ketika api sedang marak di beberapa tingkat hotel, di mana kesemua mereka telah diketahui keadaannya, menurut anggota bomba.

 Anggota penyelamat berkata, asap tebal yang sesekali menyelubungi hotel setinggi 22 tingkat itu, sekali gus menyukarkan usaha mereka untuk mengekang kebakaran yang bermula pada pagi kelmarin.

 Beberapa anggota bomba malahan menerima rawatan akibat terhidu asap tebal yang menyelubungi suasana huru-hara kelmarin.

 “Kami berharap tiada sesiapa tertinggal di dalam bilik.

 “Anggota bomba kami belum menggeledah seluruh bangunan tersebut,” kata pemangku ketua Lembaga Pembangunan Metro Manila Jojo Garcia.

 “Asap begitu tebal, jadi bayangkanlah langsung tiada apa-apa yang dapat dilihat dan anggota bomba kami mengalami kesukaran bernafas.

 “Malah berada di luar bangunan pun kita tidak dapat melihat apa-apa, apatah lagi bekerja di dalamnya,” kata marsyal bomba daerah Manila Jonas Silvano kepada radio DZBB.

 Hotel tersebut dimiliki dan diuruskan Acesite (Phils.) Hotel Corporation, anak syarikat Waterfront Philippines Incorporated.

 “Operasi hotel ditangguhkan buat sementara waktu sehingga kelulusan yang sepatutnya daripada beberapa agensi pengatur kerajaan diperolehi,” Acesite memberitahu Pasaran Bursa Saham Filipina semalam.

 Syarikat menyatakan ia masih lagi menunggu laporan terakhir BFP mengenai punca sebenar yang menyebabkan kebakaran.

 Anggota bomba menyatakan beberapa tingkat di hotel yang mempunyai 509 bilik itu rosak sepenuhnya, namun siasatan mereka masih belum lengkap.

 Saham-saham di Acesite, yang menyatakan hotel sebagai aset operasi utama, jatuh sehingga 10 peratus pada satu-satu masa ketika dagangan pagi, sementara saham Waterfront menurun sehingga 8.3 peratus.

 Kebakaran terburuk di tengah Manila adalah pada 2015 di mana 72 maut dalam kebakaran kilang selipar getah.

 Pada Disember tahun lepas, 38 maut dalam kebakaran di sebuah gedung beli-belah empat tingkat di bandar selatan Davao. — Wirenews

Advertisement