Anda di sini

PRU14: Tidak ada calon langsung BN di kerusi Baram

Advertisement

MARUDI: Tidak ada calon langsung Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Baram pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang seperti disebarkan khabar angin sebelum ini, ia hanya propaganda semata-mata.

Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datu Dr Penguang Manggil berkata kerusi Baram telah diperuntukkan kepada Parti Demokratik Progresif (PDP) dan satu-satunya nama dicalonkan ialah penyandang kerusi itu, Ahli Parlimen Baram Anyi Ngau. 

Ada khabar angin mengatakan kononnya ada calon langsung BN akan dipertaruhkan bertanding merebut kerusi Parlimen Baram dan ingin saya tegaskan di sini berita itu bertujuan mengelirukan penduduk sahaja.

Kalau benar ada yang mahu bertanding, tidak salah. Tetapi, yang pasti dia adalah calon Bebas dan bukan BN kerana tidak ada calon langsung BN dan kita ada satu sahaja nama sudah dihantar,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi itu membidas kenyataan yang dibuat dan diperbesarkan oleh individu sejak kebelakangan ini berkempen meminta undi dan sokongan penduduk di kawasan Bakong bersama pasukannya.

Sementara itu, Presiden PDP Datuk Seri Tiong King Sing pada satu majlis di Marudi telah mengumumkan Ahli Parlimen Baram Anyi Ngau dicalonkan semula pada PRU14.

Sehubungan itu, Penguang meminta penduduk dan pengundi di kawasan Baram supaya tidak terpengaruh dengan berita palsu dan pembohongan itu.

Beliau merayu kepada semua pengundi dan penyokong kawasan Poyut/Lubok Nibong supaya bersatu di belakang Anyi yang akan bertanding atas tiket BN-PDP.

Ini kerana beliau masih mempunyai minat menyambung perkhidmatannya sebagai wakil rakyat dan kita wajar memberi beliau peluang memandangkan beliau baharu sepenggal dan masih banyak perlu dilakukannya.

Sebaliknya, pembangkang hanya datang pada musim pilihan raya tanpa membawa apa-apa pembangunan selain hanya tahu mengutuk kerajaan,” katanya berucap di hadapan lebih 300 penduduk Poyut/Lubok Nibong pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Hillary Tawan di Sungai Engkala, Poyut di sini.

Katanya, beberapa tahun sudah berada dalam politik belum pernah sekalipun beliau malah penduduk di Marudi menerima pembangunan daripada pembangkang.

Hadir sama isteri beliau, Datin Monica Ukong Jaya, Pegawai Tadbir Reagan Edwin, Setiausaha Politik Ketua Menteri Alexander Asing serta pemimpin dan ketua-ketua masyarakat.

Advertisement