Anda di sini

Manfaat untuk seluruh rakyat

Advertisement

Rumah mampu milik di Sabah akan dibangunkan secara menyeluruh

 Ketua Pegawai Operasi PR1MA Datuk Ar Aminuddin Abdul Manaf (dua kiri) memberi penerangan tentang projek rumah PR1MA di Sabah kepada Teo (tengah), turut kelihatan Abdul Mutalib (kiri).
MENYELURUH: Ketua Pegawai Operasi PR1MA Datuk Ar Aminuddin Abdul Manaf (dua kiri) memberi penerangan tentang projek rumah PR1MA di Sabah kepada Teo (tengah), turut kelihatan Abdul Mutalib (kiri).

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman menjangka transformasi perumahan di negeri ini akan terus berkembang berikutan sasaran membina sejuta rumah mampu milik di seluruh negara.

Beliau berkata sasaran yang ditetapkan kerajaan persekutuan itu dijangka akan terus memacu pembangunan perumahan mampu milik di negeri ini.

Dengan itu, kita akan terus bekerjasama dengan agensi dan pemaju swasta bagi membangunkan kediaman mampu milik secara menyeluruh dan holistik.

Ia demi memastikan semua rakyat tanpa mengira lokasi dan status sosioekonomi memperoleh manfaat daripada transformasi dan pembangunan negara ini,” katanya dalam teks ucapan semasa Majlis Perasmian Ekspo Jualan Perumahan-Edisi Sabah ke arah Sejuta Impian, Alami Gaya Hidup Sejahtera, di Pusat Dagangan Sabah (STC), di sini pada Sabtu.

Teks ucapannya disampaikan oleh Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Seri Panglima Teo Chee Kang.

Musa berkata, pelaksanaan projek berimpak tinggi seperti Lebuhraya Pan Borneo juga dilihat akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Sabah dan seterusnya meningkatkan permintaan terhadap pasaran hartanah tempatan.

Beliau melihat penganjuranProgram Perbadanan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) ini sebagai ‘game changer’ yang dapat memajukan sektor perumahan negara. Malah, ia turut mewujudkan peluang perniagaan kepada syarikat kecil untuk terlibat sama dalam ekspo perumahan sebegini.

Katanya, ekspo ini bersifat menyeluruh kerana ia bukan hanya memberi tumpuan kepada pembangunan fizikal tetapi juga kepada kemudahan dan elemen gaya hidup bersesuaian dengan cita rasa golongan pertengahan (M40).

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA Datuk Abdul Mutalib Alias berkata, ekspo perumahan yang julung-julung kalinya diadakan di Sabah ini menawarkan 42,000 buah rumah daripada pelbagai kategori.

Beliau berkata ekspo ini juga berfungsi sebagai pusat sehenti bagi pembeli rumah mengumpul maklumat berkaitan rumah kediaman yang dibina agensi perumahan kerajaan termasuk rumah PR1MA.

Katanya sehingga kini, Anggota Perbadanan PR1MA meluluskan pembangunan sebanyak 267, 670 unit rumah PR1MA di seluruh negara dan 30, 155 unit dibina melalui 27 projek di Sabah.

Ia menjadikan Sabah sebagai negeri yang mempunyai jumlah unit rumah PR1MA kedua terbanyak diluluskan untuk pembangunan.

Bagi memudahkan pembeli, PR1MA juga memperkenalkan Skim Pembayaran Fleksibel yang membolehkan pembeli yang layak membayar ansuran pinjaman pada kadar lebih rendah daripada biasa.

Melalui skim ini, bakal pembeli boleh memiliki rumah sendiri dengan ansuran pinjaman serendah RM880 sebulan namun, ia tertakluk kepada terma dan syarat kelayakan pembeli,” jelasnya.

Advertisement